Rabu, 9 Jun 2021 | 11:01am

Lantik warga universiti jadi Naib Canselor UPM

KUALA LUMPUR: Pelantikan Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM) yang kosong sejak Februari lalu perlu dalam kalangan warga universiti sendiri.

Presiden Kesatuan Kakitangan Am, Universiti Putra Malaysia (KEPERTAMA), Mohd Razali Singgah, berkata kekosongan Naib Canselor UPM banyak menjejaskan hal ehwal pentadbiran dan pengurusan universiti.

Beliau berkata, ketiadaan Naib Canselor juga menyebabkan wujud banyak kekangan dan kesulitan untuk membuat keputusan kritikal khususnya membabitkan kepentingan serta dasar universiti.

Katanya, walaupun Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melantik Timbalan Naib Canselor UPM menjalankan fungsi Naib Canselor, namun beliau tidak boleh membuat keputusan kritikal.

"KEPERTAMA berharap pemilihan Naib Canselor UPM yang baharu nanti perlu dalam kalangan calon staf UPM yang berkaliber, berintegriti dan berwawasan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Semalam, KPT memaklumkan akan mengumumkan Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dan UPM, dalam masa terdekat.

Kementerian itu berkata, Naib Canselor bagi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) pula masih dalam proses pemilihan oleh Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam.

Sebelum itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Abdul Rahman Mohd Nordin membangkitkan isu kelewatan KPT melantik Naib Canselor di lima universiti awam yang kosong sejak awal tahun ini.

Mohd Razali berkata, KEPERTAMA berharap KPT mempertimbangkan calon UPM yang diketahui majoriti pihak dalaman UPM mempunyai merit berbanding pelantikan sebelum ini.

Beliau berkata, ketiadaan Naib Canselor dalam tempoh agak lama mewujudkan suasana kurang kondusif buat semua warga kampus dan turut membuka ruang kepada pelbagai pihak berkepentingan menangguk di air keruh.

"KPT sedia maklum visi dan misi UPM serta tanggungjawab besar diamanahkan oleh KPT kepada UPM khususnya dalam konteks pemerkasaan sektor pertanian.

"Namun persoalannya adakah UPM mampu mencapai hala tuju dan menjayakan pelan strategi digariskan tanpa Naib Canselor dalam tempoh yang menghampiri lima bulan," katanya.

Berita Harian X