Selasa, 8 Jun 2021 | 5:54pm
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP

Rujuk amalan universiti luar negara

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) perlu melihat kembali amalan pelantikan Naib Canselor dengan merujuk amalan terbaik di negara luar.

Pengerusi Pertubuhan Pembangunan Penyelidikan dan Dasar Pendidikan Tinggi Malaysia (PenDaPaT), Profesor Datuk Dr Norzaini Azman berkata, amalan kebiasaan di universiti di luar negara, pelantikan Naib Canselor dan jawatan lain di universiti dilakukan oleh Ahli Lembaga universiti.

Beliau berkata, proses akan bermula dengan mewujudkan jawatankuasa carian untuk mengenal pasti calon, sebelum pihak lembaga membuat pelantikan.

"Malah, pengumuman Naib Canselor baharu dilakukan lebih awal supaya proses peralihan jawatan berlaku dengan lebih lancar dan tersusun," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin yang meminta KPT segera melantik Naib Canselor di lima universiti awam (UA) yang kosong sejak awal tahun ini.

Kekosongan jawatan itu membabitkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Putra Malaysia (UPM)

Norzaini berkata, dalam konteks lantikan semasa berdasarkan Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) adalah dicadangkan pihak universiti dan tadbir urus di kementerian lebih proaktif dan memulakan proses pencarian.

"Tetapkan garis masa iaitu sembilan bulan sebelum tempoh pelantikan Naib Canselor tamat manakala enam bulan sebelum bagi Timbalan Naib Canselor (TNC).

"Dalam keadaan di mana pemimpin seperti Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor terpaksa berundur atau tempoh lantikan dipendekkan, KPT boleh menggunakan senarai pendek lama yang sudah ditemu duga dan memohon beberapa senarai baru jika perlu dan menguruskan lantikan dalam keadaan segera tanpa menjejaskan integriti proses pemilihan," katanya.

Beliau berkata, pertubuhan itu juga berharap isu kekosongan dan pelantikan Naib Canselor ini dapat diselesaikan dengan kadar segera.

"Ini kerana peranan Naib Canselor sangat penting dalam merencana dan merancang pembangunan universiti, terutama dalam keadaan getir dalam era penularan pandemik COVID-19," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ketika ini, universiti awam di Malaysia bukan sahaja memerlukan kesinambungan lantikan pemimpin tetapi calon pemimpin yang berwibawa, dinamik dan berwasasan bagi mengorak langkah membina strategi universiti khususnya untuk berhadapan dengan keadaan VUCA (Volatility (kemeruapan), Uncertainty (ketidakpastian), Complexity (Kerumitan) dan Ambiguity (Kekaburan).

"Kesinambungan kepemimpinan sangat penting bagi memastikan wawasan dan citra organisasi diteruskan tetapi dengan gaya dan strategi kepimpinan yang baharu.

"Kajian berkaitan profil dan ciri pemimpin universiti banyak dilakukan dan dapatan jelas menunjukkan bahawa model cendekiawan di mana Naib Canselor dilantik adalah dalam kalangan ahli akademik berwibawa - mendapat pengiktirafan kebangsaan dan global dengan purata umur 60 tahun.

"Calon yang sesuai dilantik berasaskan kesepadanan pemimpin dengan visi dan matlamat universiti," katanya.

Sementara itu, Presiden Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) meminta sistem penggiliran pelantikan beberapa jawatan utama di universiti dikaji semula.

Presidennya, Raja Shah Erman Raja Ariffin, berkata kajian semula itu perlu kerana selepas diperkenalkan sejak lapan tahun lalu melalui pindaan AUKU, dilihat menjejaskan peluang peningkatan kerjaya secara profesional.

Katanya, persatuan itu berpendapat penggiliran adalah baik bagi semua jawatan utama bagi tujuan kelestarian kepemimpinan berintegriti namun jika tempoh yang terlalu pendek dan tidak selari dengan perjawatan hakiki akan menjejaskan perancangan masa panjang universiti awam.

"Justeru, MASTI meminta Kementerian Pengajian Tinggi melihat secara komprehensif berkaitan dengan tadbir urus pelantikan jawatan utama Universiti iaitu Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor, Pendaftar, Bendahari, Ketua Pustakawan, Penasihat Undang-Undang.

"Kementerian juga perlu mendapatkan pandangan dari setiap 'stakeholder' dalam perancangan pengisian jawatan utama di universiti seperti Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Persatuan/Kesatuan Staf, Kerajaan Negeri danIndustri yang mewakili Lembaga Pengarah Universiti serta pihak berkepentingan Institusi yang lain.

"InsyaAllah dengan sistem tadbir urus yang baik di peringkat Kementerian akan terus dirujuk dan diangkat martabatnya ke peringkat antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Raja Shah Erman berkata, pelan penggantian dalam pemerkasaan bakat perlulah dihormati dari segi sistem dan pengisiannya.

"MASTI berpandangan jika pelantikan Pengurusan Tertinggi Universiti menghormati sistem yang sangat baik ini tanpa campur tangan politik yang kurang matang, nescaya kepimpinan universiti akan kekal relevan berada di atas landasan yang betul," katanya.

Mengulas lanjut, katanya Naib Canselor adalah Ketua Pegawai Eksekutif sesebuah universiti dan memainkan peranan besar dalam menentukan serta menggerakkan hala tuju pengajian tinggi negara melalui inisiatif dan pelaksanaan di institusi masing-masing.

Katanya, kekosongan jawatan nombor satu-satu institusi yang terlalu lama turut menunjukkan kelemahan urus tadbir di KPT.

"MASTI yang terdiri daripada 9,000 ahlinya di semua universiti awam daripada 40 pelbagai skim turut terkesan dengan ketiadaan Naib Canselor yang sepatutnya menerajui dan membuat dasar strategik Universiti.

"Ini kerana MASTI juga adalah kumpulan pentadbir yang memegang amanah sebagai pembuat, pelaksana dan pemantauan dasar bersama-sama dengan Pengurusan Tertinggi Universiti diketuai oleh Naib Canselor," katanya.

Mengulas lanjut, katanya MASTI turut menekankan peranan Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) bersama Bahagian Pengurusan Bakat Universiti Awam masing-masing.

Katanya, pengurusan bakat ini menyediakan kelompok bakat yang terbaik melalui pelbagai kaedah dalam menyenaraikan calon kepemimpinan universiti dalam kalangan ahli akademik dan pentadbir untuk mengisi jawatan strategik yang bakal diisi apabila perlukan nanti.

Berita Harian X