Selasa, 8 Jun 2021 | 5:14pm
Jururawat menyuntik vaksin kepada penerima di PPV Kompleks Sukan Masjid Tanah, Melaka, hari ini. - Foto NSTP/SYAFEEQ AHMAD
Jururawat menyuntik vaksin kepada penerima di PPV Kompleks Sukan Masjid Tanah, Melaka, hari ini. - Foto NSTP/SYAFEEQ AHMAD

Lebih 1.1 juta individu lengkap vaksin

KUALA LUMPUR: Seramai 1,135,157 individu sudah melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 setakat semalam.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba menerusi akaun Twitternya hari ini, berkata seramai 2,503,655 individu menerima dos pertama, menjadikan jumlah keseluruhan pemberian dos pertama dan kedua di negara ini ialah 3,638,812 dos, setakat semalam.

Beliau berkata, lima negeri yang melengkapkan kedua-dua dos tertinggi ialah Selangor dengan 145,973 dos diikuti Sarawak (119,459), Perak (105,546), Kuala Lumpur (104,742) dan Johor (98,996).

Setakat semalam, 52.5 peratus atau 12,743,918 individu mendaftar untuk Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dan Selangor mencatatkan jumlah pendaftaran tertinggi iaitu 3,363,091 orang.

Mengikut perancangan, fasa kedua program itu yang bermula April hingga Ogos ini akan membabitkan pemvaksinan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan orang kurang upaya.

Fasa ketiga bermula bulan lalu hingga Februari 2022 pula membabitkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.

Pada fasa pertama program yang berlangsung dari Februari hingga April lalu, kira-kira 500,000 petugas barisan hadapan termasuk warga kesihatan menerima vaksin itu. – BERNAMA

Warga emas menerima suntikan vaksin di Hospital Pakar KPJ Seremban, hospital swasta yang beroperasi sebagai PPV. - Foto NSTP/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN
Warga emas menerima suntikan vaksin di Hospital Pakar KPJ Seremban, hospital swasta yang beroperasi sebagai PPV. - Foto NSTP/AZRUL EDHAM MOHD AMINUDDIN

Berita Harian X