Isnin, 7 Jun 2021 | 4:23pm
Kekosongan jawatan Naib Canselor membabitkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Putra Malaysia (UPM). - Foto hiasan
Kekosongan jawatan Naib Canselor membabitkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Putra Malaysia (UPM). - Foto hiasan

Lantik segera Naib Canselor di 5 universiti

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) digesa segera melantik Naib Canselor di lima universiti awam yang kosong sejak awal tahun ini.

Kekosongan jawatan itu membabitkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Setiausaha Agung CUEPACS, Abdul Rahman Mohd Nordin, berkata keperluan untuk melantik segera jawatan terbabit bagi membolehkan pentadbiran universiti berjalan seperti biasa dan mampu melaksanakan visi dan misi masing-masing.

"Menteri Pengajian Tinggi diharap dapat mempertimbangkan perkara ini dengan segera. Dalam situasi pandemik ketika ini, sewajarnya semua jabatan dan agensi kerajaan dimantapkan agar boleh menjadi pemangkin kepada permasalahan yang melanda ketika ini.

"Ini kerana kelewatan kerajaan membuat lantikan baharu bagi mengisi kekosongan jawatan terbabit, ia akan menjejaskan operasi pentadbiran sekali gus menjejaskan hala tuju universiti berkenaan bagi melaksanakan visi dan misi masing-masing," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Rahman berkata, melantik Naib Canselor adalah bidang kuasa menteri dan beliau juga mempunyai kuasa untuk menamatkan pelantikan Naib Canselor pada bila-bila masa.

"Kebiasaannya apabila jawatan Naib Canselor itu dikosongkan, Timbalan Naib Canselor yang dinamakan oleh Menteri akan menjalankan tugas sebagai Naib Canselor untuk beberapa tempoh tertentu.

"Bagaimanapun CUEPACS berpandangan kekosongan yang terlalu lama bagi jawatan nombor satu itu dengan hanya dipangku oleh Timbalan Naib Canselor boleh menjejaskan hala tuju dan pentadbiran universiti," katanya.

Walaupun Timbalan Naib Canselor yang menjalankan tugas Naib Canselor itu individu yang berpengalaman, sudah tentu terdapat kekangan yang menghalangnya daripada menjalankan tugas dengan sepenuhnya.

"Hal kebajikan kakitangan terutama kumpulan sokongan juga tidak akan mendapat pembelaan sewajarnya kerana ketiadaan Naib Canselor yang sentiasa menjadi rujukan permasalahan kakitangan," katanya.

Katanya, kelompangan barisan pengurusan kanan itu juga boleh menyebabkan potensi institusi pengajian tinggi itu tidak dapat diterokai sepenuhnya terutama ketika negara sedang mengalami pandemik COVID-19.

Berita Harian X