Ahad, 6 Jun 2021 | 11:05am

Kadar kebolehjangkitan COVID-19 menurun kepada 1.0

KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 mengikut kes harian di Malaysia mencatatkan penurunan kepada 1.0 semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia adalah Rt terendah yang dicatatkan Malaysia dalam tempoh hampir dua bulan apabila kali terakhir mencatatkan angka 1.0 pada 8 April lalu, iaitu di permulaan lonjakan terbaharu pandemik itu.

Data dikongsi Dr Noor Hisham di Facebook semalam juga menunjukkan Malaysia merekodkan penurunan Rt selama tujuh hari berturut-turut daripada 1.16 pada 29 Mei lalu sebelum berkurangan setiap hari sehingga mencatat 1.0 semalam.

Penurunan itu menunjukkan risiko jangkitan daripada seorang individu positif COVID-19 kepada individu lain semakin berkurangan, dan virus itu boleh dianggap tidak tersebar jika Rt berada di bawah 1.0.

Namun, Rt di semua negeri kecuali Perlis dan Kelantan, masih melebihi purata kebangsaan semalam, dengan yang tertinggi adalah Labuan dengan 1.37.

Ia disusuli Negeri Sembilan (1.23), Sabah (1.14), Melaka (1.12), Selangor (1.09), Kuala Lumpur (1.07), Pahang (1.07), Pulau Pinang (1.06), Perak (1.06), Terengganu (1.05), Johor (1.03), Sarawak (1.03), Putrajaya (1.03) dan Kedah (1.01).

Kelantan mencatat nilai Rt sama dengan purata kebangsaan iaitu 1.0, manakala Perlis satu-satunya negeri merekodkan nilai Rt di bawah 1.0 semalam dengan 0.98.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes COVID-19, iaitu berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

Selain itu, data dikongsi Dr Noor Hisham turut menunjukkan kes mingguan COVID-19 menurun buat pertama kali selepas meningkat selama lapan minggu berturut-turut.

Kes terkumpul COVID-19 bagi minggu ke-22 tahun ini, iaitu antara 30 Mei hingga 5 Jun mencatat penurunan kepada 52,040 kes, berbanding 53,419 kes pada minggu sebelumnya.

Jumlah kes mingguan mula meningkat pada minggu ke-14 tahun ini iaitu antara 4 April hingga 10 April lalu dengan 9,507 kes sebelum meningkat 461 peratus kepada lebih 53,000 kes dalam tempoh lapan minggu.

Secara keseluruhan, data dikongsi Dr Noor Hisham menunjukkan trend penularan wabak COVID-19 di Malaysia tidak lagi menuju ke arah peningkatan sehingga 10,000 kes seperti sebelum ini.

Sebaliknya, trend penularan pandemik itu, berdasarkan nilai Rt harian, dilihat mula stabil sejak 29 Mei lalu dan jika nilai Rt kekal rendah, ia dijangka terus menurun, selaras penurunan kes harian.

Berita Harian X