Sabtu, 5 Jun 2021 | 3:14pm
Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam (kanan) diiringi EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman bertanya khabar penerima vaksin semasa melawat PPV Dewan Tun Ali, hari ini. - Foto NSTP/Amir Mamat
Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam (kanan) diiringi EXCO Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman bertanya khabar penerima vaksin semasa melawat PPV Dewan Tun Ali, hari ini. - Foto NSTP/Amir Mamat

Hanya satu kes varian Afrika Selatan di Melaka

MELAKA: Tiada kes baharu membabitkan varian jenis Beta (B.1.351) yang dikenali sebagai varian Afrika Selatan di Melaka, kata Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Beliau berkata, setakat ini hanya satu kes dilaporkan berlaku di negeri ini dan Jabatan Kesihatan negeri mempertingkatkan pemantauan situasi kes varian berkenaan sejak mula dikesan bulan lalu.

Katanya, meski pun keadaan terkawal, pihaknya mengambil langkah berjaga-jaga bagi memastikan wabak itu tidak menular.

"Kes ini sedang dipantau secara berterusan oleh Jabatan Kesihatan negeri dan segala perkembangan akan diumumkan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) kelak," katanya selepas mengiringi lawatan Yang di-Pertua negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Tun Ali, Bukit Katil, di sini, hari ini.

Varian Beta dikesan membabitkan kes dari Kluster Jalan Pokok Mangga, dalam daerah Melaka Tengah, hasil ujian survelan genomik untuk virus SARS-CoV-2 yang dijalankan bermula 24 Mei hingga 4 Jun lalu.

Semalam, KKM dalam satu kenyataan dilaporkan, Varian Afrika Selatan dikesan membabitkan kes dari Kluster Jalan Pokok Mangga.

Dalam tempoh itu, sebanyak 19 kes varian baharu turut dikesan di seluruh negara, yang mana empat daripadanya ialah Varian India ataudikenali Varian Delta (B.1.617.2) dan 15 lagi membabitkan Varian Beta.

Sementara itu, Rahmad berkata, Kluster Jalan Pokok Mangga dijangka ditamatkan esok selepas tiada kes baharu dicatatkan sejak beberapa lalu.

Katanya, bagaimanapun, Jabatan Kesihatan negeri sentiasa memantau situasi penduduk di kawasan terbabit dari semasa ke semasa dengan memastikan mereka mematuhi arahan pihak berkuasa sepanjang masa.

Kluster Jalan Pokok Mangga diisytiharkan oleh KKM pada awal bulan ini selepas 30 penduduk disahkan positif COVID-19.

Ia dikategorikan sebagai kluster tempat kerja dan berpunca daripada aktiviti rentas negeri bagi urusan kerja.

Berita Harian X