Khamis, 3 Jun 2021 | 6:57pm
 Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan

Banyak aduan majikan larang pekerja BDR

KUALA LUMPUR: Jumlah aduan berkaitan majikan tidak membenarkan pekerja untuk bekerja dari rumah (BDR) semakin meningkat apabila merekodkan sebanyak 1,121 kes diterima dalam tempoh sembilan hari.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan, berkata aduan diterima pihaknya direkodkan menerusi aplikasi Working for Workers (WFW) yang dibuka sejak 23 Mei lalu.

Beliau berkata, selain aduan mengenai BDR, pihaknya juga menerima aduan membabitkan 16 kategori lain.

Katanya, pegawai penguat kuasa Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) serta Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM) diberikan kuasa mengkompaun mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berkuat kuasa 1 Jun lalu.

"Langkah ini bertujuan melaksanakan aktiviti penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berhubung keperluan 40 peratus pekerja sektor swasta untuk BDR.

"Jadi, mana-mana syarikat atau premis yang didapati tidak mematuhi arahan BDR terkini dan berlaku pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) akan diarahkan tutup serta-merta selama tujuh hari dan dikompaun maksimum RM50,000.

"Keputusan ini dibuat berikutan peningkatan ketara jumlah aduan diterima melalui aplikasi WFW berhubung majikan tidak membenarkan pekerja untuk BDR. Sejak kategori BDR ini dibuka untuk aduan pada 23 Mei lalu, sejumlah 1,121 aduan diterima KSM sehingga semalam," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mengulas aduan membabitkan 16 kategori lain, Saravanan berkata, menerusi aplikasi WFW, pihaknya menerima 1,767 aduan termasuk membabitkan aduan gaji tidak dibayar dan pembayaran gaji lewat merangkumi 260 kes.

Beliau berkata, aduan pembuangan kerja tanpa notis merekodkan 73 kes, tiada pembayaran lebih masa dan faedah pemberhentian pula 63 kes serta lain-lain.

"Negeri yang merekodkan paling banyak jumlah aduan sehingga kini adalah Selangor (580 kes), diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (511 kes), Johor (223 kes), Pulau Pinang (134 kes) dan lain-lain.

"Jadi, saya menggesa semua majikan mematuhi dan memberikan kerjasama sepenuhnya SOP ditetapkan kerajaan terutama dalam tempoh kritikal ini.

"Ini kerana usaha untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 memerlukan sokongan semua pihak termasuk majikan dan pekerja," katanya.

Pada masa sama, Saravanan berkata, pihaknya komited memastikan hak dan kebajikan pekerja terus terpelihara, selain mengambil tindakan segera berkaitan isu perburuhan yang dihadapi pekerja.

Selain mengingatkan pekerja sentiasa mengamalkan kawalan kendiri bagi membendung penularan COVID-19, beliau menasihati golongan itu memanfaatkan aplikasi WFH untuk menyalurkan aduan dan masalah dihadapi mereka.

Berita Harian X