Khamis, 3 Jun 2021 | 12:43pm

LHDN longgar bayaran cukai, penalti bagi pembayar terjejas

KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberikan kelonggaran pembayaran cukai dan penalti kepada individu yang pendapatan mereka terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

LHDN dalam kenyataan hari ini, berkata ia bagi meringankan beban pembayar cukai dalam menyelesaikan cukai tertunggak dan penalti cukai.

Katanya, kelonggaran ditawarkan kepada pembayar cukai itu bagaimanapun tertakluk kepada beberapa kriteria.

"Pertama, penangguhan pembayaran penalti berkaitan dengan kewajipan cukai mereka ke tahun 2022 dengan syarat pembayar cukai terus mematuhi pembayaran amaun prinsipal cukai yang kena dibayar.

"Penalti yang termaktub dalam tawaran ini ialah penalti dikenakan mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967, Akta Cukai Keuntungan Harta Tanah 1976 dan Akta Setem 1949.

"Kedua, pertimbangan permohonan penjadualan semula bayaran cukai bagi pembayar cukai yang kehilangan punca pendapatan atau menghadapi isu menyelesaikan cukai yang tertunggak akibat pelaksanaan PKP," katanya.

Selain itu, LHDN turut mempertimbangkan penyemakan semula penalti dikenakan jika pembayar cukai mempunyai alasan kukuh.

Katanya, pembayar cukai perlu membuat rayuan ke atas penalti dikenakan dan rayuan akan dipertimbangkan dengan melihat setiap asas kes.

"Pembayar cukai yang berhasrat memohon kelonggaran ini disyorkan untuk menghubungi Pejabat Cawangan LHDNM yang mengendalikan fail cukai pendapatan mereka.

"Bagaimanapun, pembayar cukai yang tidak terjejas perlu meneruskan pembayaran cukai seperti dikehendaki undang-undang yang berkuat kuasa," katanya.

LHDN turut menyediakan soalan lazim berkaitan urusan percukaian dalam tempoh PKP 3.0 berkaitan perkara ini, selain menyentuh isu penghantaran borang nyata cukai pendapatan dan pembayaran cukai pendapatan.

FAQ itu boleh dicapai melalui pautanhttp://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/faq_pkp3_1.pdf bagi versi bahasa Melayu, manakala untuk Bahasa Inggeris menerusi http://phl.hasil.gov.my/pdf/pdfam/faq_pkp3_2.pdf.

Sebarang pertanyaan dan maklum balas berkaitan boleh dimajukan kepada LHDN melalui Hasil Care Line di talian 03-8911 1000 / 603-8911 1100 (Luar Negara) atau HASiL Live Chat dan Borang Maklum Balas di portal rasmi LHDN di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my.

Berita Harian X