Rabu, 2 Jun 2021 | 3:10pm

Lebih 2 juta penduduk sudah terima vaksin

KUALA LUMPUR: Seramai 1,104,873 penduduk di Malaysia sehingga ini sudah menerima suntikan pelalian COVID-19 secara lengkap, iaitu dua dos.

Perangkaan setakat semalam itu mewakili 4.17 peratus daripada 26.5 juta penerima yang disasarkan dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi membentuk imuniti kelompok.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata jumlah keseluruhan pemberian vaksin COVID-19 setakat semalam ialah 3,107,218 dos.

Hasil pelbagai usaha dirintis kerajaan dalam meningkatkan kadar inokulasi, beliau berkata, sebanyak 98,789 dos suntikan vaksin berupaya diberikan kepada penerima yang layak, semalam.

"Jumlah yang terima dos pertama ialah 2,002,345 orang. Daripada jumlah itu, 1,104,873 orang terima dos kedua," katanya dalam kenyataan di Twitter, hari ini.

Sementara itu, berdasarkan graf mengenai pemberian suntikan sekurang-kurangnya satu dos vaksin yang diterbitkan Our World in Data, Malaysia mendahului beberapa negara jiran di rantau ini, antaranya Indonesia, Filipina, Thailand, Myanmar dan Vietnam.

Malaysia merekodkan 6.2 peratus daripada keseluruhan populasi sudah diberikan sekurang-kurangnya satu dos suntikan vaksin, manakala Indonesia (6 peratus), Filipina dan Thailand, masing-masing 3.6 peratus, Myanmar (3 peratus) dan Vietnam (1 peratus).

Kadar inokulasi atau pemberian suntikan vaksin kepada penerima di Malaysia juga dilihat meningkat secara mendadak, mulai 10 April lalu, sebelum memintas perangkaan yang direkodkan Indonesia, pada 28 Mei lalu.

Mengikut laporan media antarabangsa, Kerajaan Indonesia mula menggerakkan kempen inokulasi, menggunakan bekalan vaksin Sinovac, yang diperoleh menerusi syarikat farmaseutikal dari Beijing, China, untuk 181.5 juta penduduknya, sejak 3 Januari lalu.

Secara perbandingan, Malaysia pula memulakan PICK pada 23 Februari lalu, dengan menyasarkan 26.5 juta penerima atau 80 peratus daripada keseluruhan 32.6 juta penduduk di Malaysia bagi mencapai imuniti kelompok.

Malaysia ketika ini menggunakan bekalan vaksin yang diperoleh daripada beberapa syarikat farmaseutikal seperti Pfizer, AstraZeneca dan Sinovac.

Berita Harian X