Selasa, 1 Jun 2021 | 4:53pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Tiga pilihan biayai suntikan tambahan RM5 bilion

KUALA LUMPUR: Kerajaan mempunyai tiga pilihan dalam membiayai suntikan langsung fiskal sebanyak RM5 bilion seperti diumumkan dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata tiga opsyen berkenaan ialah menerusi penjimatan perbelanjaan kerajaan dengan memberi keutamaan kepada sektor atau bidang yang memerlukan, sumbangan dividen daripada badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta menerusi instrumen hutang.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa komited untuk berbelanja dalam membantu rakyat bagi menjamin kelangsungan hidup dan kesejahteraan mereka meskipun berdepan persekitaran mencabar dicetuskan pandemik COVID-19.

"Kami akan membiayai suntikan langsung fiskal RM5 bilion sama ada menerusi penjimatan atau hutang atau kami boleh meninjau opsyen lain seperti dividen daripada GLC dan badan berkanun," katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas bagaimana kerajaan akan membiayai suntikan langsung fiskal RM5 bilion yang diumumkan dalam PEMERKASA+ dengan kedudukan ruang fiskal yang terhad.

Nilai keseluruhan program PEMERKASA+s adalah berjumlah RM40 bilion, yang mana suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM5 bilion.

Pada tahun lalu, kerajaan telah meningkatkan had statutori hutang 55 peratus kepada 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berikutan pelaksanaan pelbagai pakej rangsangan dan bantuan bagi terus membantu rakyat dan perniagaan yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Kerajaan menegaskan peningkatan had statutori hutang itu adalah secara sementara dan akan kembali ke paras 55 peratus daripada KDNK menjelang 2023.

Sehingga akhir Disember 2020, hutang statutori mencatat 58 peratus daripada KDNK dan dijangka akan meningkat kepada sekitar 58.5 peratus daripada KDNK pada akhir 2021 dan ia masih di bawah had statutori 60 yang ditetapkan.

Pinjaman luar pesisir pula mencatat RM28.3 bilion masih di bawah had RM35 bilion yang ditetapkan dalam Akta Pinjaman Luar Negeri 1963 (Akta 403).

Berita Harian X