Isnin, 31 Mei 2021 | 9:11pm
Suasana di kawasan penerimaan suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini. - Foto BERNAMA
Suasana di kawasan penerimaan suntikan vaksin COVID-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini. - Foto BERNAMA

Komited imbangi kebajikan, kesejahteraan dan nyawa rakyat - Muhyiddin

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menjelaskan, kerajaan mempunyai ruang fiskal yang amat terhad untuk berbelanja pada masa ini.

Perdana Menteri berkata, atas dasar keprihatinan terhadap kebajikan rakyat, kerajaan akan berusaha sedaya-upaya bagi memastikan wujud keseimbangan antara kehidupan dan keperluan melindungi nyawa, di samping menjamin kesejahteraan rakyat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sejak COVID-19 melanda negara, kerajaan melaksanakan pelbagai pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah RM340 bilion.

"Sehingga kini, ia memanfaatkan lebih 20 juta isi rumah dan lebih dua juta perniagaan dengan suntikan ekonomi lebih RM200 bilion.

"Justeru, ada lebih RM100 bilion lagi daripada nilai pakej rangsangan untuk disalurkan sepanjang tahun ini.

"Sebagai tambahan, pakej terbabit dilengkapi inisiatif Belanjawan 2021 berjumlah RM322.5 bilion," katanya dalam perutusan mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) bernilai RM40 bilion, malam ini.

Muhyiddin berkata, menerusi suntikan dan langkah yang diumumkan, ekonomi negara dilihat semakin pulih, menggambarkan hasil dan impak positif untuk terus melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong perniagaan serta menyediakan bantuan kepada rakyat dan sektor yang terkesan.

Katanya, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada Mac lalu turut melonjak enam peratus, nilai tertinggi sejak pandemik COVID-19 melanda negara.

"Seperti yang diumumkan, kerajaan akan melaksanakan PKP yang lebih ketat untuk tempoh dua minggu bermula esok. Semua sektor sosial dan ekonomi ditutup kecuali yang dikategorikan sebagai sektor ekonomi dan perkhidmatan perlu.

"Tindakan ini diambil selepas trend peningkatan kes COVID-19 menunjukkan kenaikan mendadak dengan mencatat kes kematian yang tinggi setiap hari.

"Sekiranya tindakan drastik tidak diambil segera, sistem kesihatan negara dikhuatiri akan runtuh dan kita akan berhadapan satu malapetaka yang lebih besar.

"Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, penutupan sektor ekonomi akan memberi kesan amat besar kepada ekonomi negara dan kehidupan rakyat," katanya.

Berita Harian X