Isnin, 31 Mei 2021 | 1:47pm
Pengoperasian BDR diyakini tidak akan menimbulkan masalah atau mengakibatkan sistem penyampaian tergendala. - Foto NSTP
Pengoperasian BDR diyakini tidak akan menimbulkan masalah atau mengakibatkan sistem penyampaian tergendala. - Foto NSTP

Operasi bekerja dari rumah diyakini lancar - CUEPACS

KUALA LUMPUR: Pengoperasian bekerja dari rumah (BDR) diyakini tidak akan menimbulkan masalah atau mengakibatkan sistem penyampaian tergendala berikutan hampir semua sektor melaksanakan kaedah itu.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Abdul Rahman Mohd Nordin, berkata walaupun pejabat tidak dibuka, setiap jabatan tetap beroperasi seperti biasa dalam memberikan perkhidmatan masing-masing.

"Pelaksanaan BDR juga bukanlah kali pertama dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), justeru banyak perkara ditambah baik, jadi sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan berjalan seperti biasa tanpa tergendala.

"Pada masa sama, banyak perkhidmatan kerajaan boleh diakses secara dalam talian sekali gus tidak memerlukan orang ramai untuk keluar rumah," katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Perkhidmatan awam akan melaksanakan kaedah BDR sepenuhnya kecuali petugas barisan hadapan, keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh fasa pertama bermula esok.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata arahan itu bertujuan mengurangkan perhubungan individu secara bersemuka sekali gus mengekang penularan COVID-19.

Abdul Rahman berkata, BDR juga berupaya menyokong matlamat kerajaan dalam memutuskan rantaian jangkitan di tempat kerja, selain menjadi norma biasa kepada hampir kebanyakan penjawat awam.

"Justeru, ini akan membantu kita mengurangkan pergerakan kakitangan dan menjadi perantara untuk memutuskan rantaian jangkitan.

"Ini kerana jika kaunter perkhidmatan dibuka, petugas dan pelanggan berisiko dijangkiti dan menjangkiti kerana kadar kebolehjangkitan pada masa kini semakin cepat dan meluas," katanya.

Katanya, orang ramai boleh mengakses portal dalam talian e-kerajaan dan seharusnya ketika sekatan pergerakan penuh atau full lockdown, rutin berbelanja juga berubah kerana semuanya ada di hujung jari, termasuk membeli barangan basah.

"Ini adalah masa untuk membiasakan dengan teknologi, lebih mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan ia langkah individu untuk mengelakkan jangkitan kerana sudah tidak lagi keluar dari rumah.

"Dengan semua melaksanakan peranan masing-masing, berdedikasi dalam tugas, tempoh selama 14 hari ini kita akan lihat keberhasilannya," katanya.

Berita Harian X