Ahad, 30 Mei 2021 | 7:05pm
Mohd Zuki Ali hari ini melakukan tinjauan mengejut ke beberapa premis kerajaan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada 27 Mei lalu. - Foto fail
Mohd Zuki Ali hari ini melakukan tinjauan mengejut ke beberapa premis kerajaan dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 pada 27 Mei lalu. - Foto fail

Penjawat awam laksana BDR sepenuhnya kecuali 'frontliners'

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan awam akan melaksanakan kaedah bekerja dari rumah (BDR) sepenuhnya kecuali petugas barisan hadapan, keselamatan, pertahanan dan penguatkuasaan susulan pelaksanaan sekatan pergerakan penuh fasa pertama mulai Selasa ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata arahan itu bertujuan mengurangkan perhubungan individu secara bersemuka sekali gus mengekang penularan COVID-19.

Berikutan arahan itu, semua ketua jabatan harus memastikan semua mesyuarat dan perbincangan dilaksanakan secara dalam talian melalui medium yang selamat serta terjamin kerahsiaan.

"Tiada perjumpaan atau aktiviti fizikal dibenarkan manakala semua perkhidmatan kaunter ditutup dan urusan dilakukan secara dalam talian.

"Bagaimanapun perkhidmatan kaunter kesihatan, balai polis dan di pintuk masuk antarabangsa membabitkan kastam, imigresen serta kuarantin dibenarkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zuki berkata, pelaksanaan BDR adalah berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 5 Tahun 2020 - Dasar Bekerja Dari Rumah yang memperincikan aspek perlu dipatuhi termasuk tidak boleh melaksanakan urusan peribadi dalam waktu bekerja.

Jelasnya, sebarang pelanggaran salah laku dalam pematuhan BDR akan dikenakan tindakan tatatertib di mangikut Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Beliau bagaimanapun berkata, kehadiran ke pejabat hanya boleh dibenarkan bagi proses kerja yang tidak boleh dilaksanakan secara BDR dengan tidak melebihi 20 peratus.

"Kehadiran ke pejabat hanya boleh bagi tujuan pembayaran kontrak, invois dan gaji, pembayaran dan pengagihan bantuan bulanan kepada rakyat, penyelenggaraan dan keselamatan premis, pengurusan teknikal komunikasi dan teknologi maklumat (ICT) bagi tujuan penyelenggaraan sistem serta mesyuarat dalam talian.

"Selain itu penyediaan kertas dan dokumen membabitkan Jemaah Menteri, penggiliran kakitangan bagi tempoh maksimum empat jam dan kehadiran ke pejabat perlu disertai dengan dokumen arahan rasmi dan pas pekerja," katanya.

Mohd Zuki berkata, pemantauan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa dan tindakan sewajarnya akan diambil jika berlaku sebarang ketidakpatuhan kepada arahan yang dikeluarkan.

"Sebarang pengecualian arahan ini perlu mendapat kelulusan daripada Pejabat Ketua Setiausaha Negara. Perkhidmatan awam negara akan terus komited dan menjadi tunjang utama dalam memastikan jentera pentadbiran kerajaan kekal beroperasi dengan efektif berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membendung penularan COVID-19," katanya.

Berita Harian X