Ahad, 30 Mei 2021 | 12:43pm
Tren LRT yang terbabit dalam kemalangan Isnin lalu. - Foto ihsan FB Wee Ka Siong
Tren LRT yang terbabit dalam kemalangan Isnin lalu. - Foto ihsan FB Wee Ka Siong

Pakar khas teliti setiap aspek nahas tren LRT

KEMALANGAN membabitkan dua tren transit aliran ringan (LRT) bertembung, menimbulkan kebimbangan umum khususnya dalam kalangan pengguna. Banyak isu perlu dilihat daripada bagaimana pihak berkuasa bertindak hingga bentuk penyiasatan dilakukan.

Ikuti temu bual wartawan BH, Saiful Haizan Hasam bersama Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Ketua Pusat Penyelidikan Pengangkutan Universiti Malaya (UM), Ir Ts Dr Yuen Choon Wah.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong ketika sidang media mengenai laluan LRT Kelana Jaya yang sudah pulih ketika membuat lawatan ke Pusat Krisis di Stesen Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) KLCC, Jumaat lalu. - Foto BERNAMA
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong ketika sidang media mengenai laluan LRT Kelana Jaya yang sudah pulih ketika membuat lawatan ke Pusat Krisis di Stesen Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) KLCC, Jumaat lalu. - Foto BERNAMA

Soalan (S): Apabila menerima berita kemalangan transit aliran ringan (LRT), Isnin lalu, apa perkara pertama Datuk Seri lakukan?

Jawapan (J): Pada malam kejadian, saya baru sampai di rumah dan baru siap mandi. Saya dapat mesej pada 9.05 malam daripada pegawai (berkenaan kemalangan) dan terus tanya semua pegawai tertinggi kementerian, apa sudah jadi? Saya minta mereka membuat laporan segera dikemas kini setiap lima minit.

Saya hendak tahu apa sebenarnya berlaku kerana pada masa itu difahamkan dua tren berlanggar. Biasanya kalau berlanggar berdepan, pasti ia beri kesan besar.

Lebih kurang 10 ke 15 minit kemudian, mereka beritahu kira-kira 20 orang dikenal pasti cedera. Bagi saya jumlah ini besar. Mangsa pada masa itu masih dalam gerabak tren.

Saya terus bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat sendiri apa berlaku kerana kesannya bukan hanya kepada penumpang, tetapi kepada perkhidmatan LRT secara keseluruhan.

S: Boleh Datuk Seri kongsi suasana di lokasi kejadian?

J: Saya lihat penumpang cedera diusung keluar oleh paramedik. Ada diusung guna kerusi, diangkat dengan tangan dan ada yang terpaksa pakai pengusung.

Saya turut beri kata perangsang agar kita hantar penumpang cedera ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) segera. Keutamaan saya ketika itu adalah menyelamatkan penumpang dan hantar mereka ke hospital.

Saya dapat lihat bahagian luka pada penumpang, malah ada terduduk dengan tangan dan badan tak boleh digerakkan. Itu petanda mereka mungkin cedera pada bahagian tulang. Saya tanya mereka, ada yang kata sakit di tulang dan tengkuk.

S: Bagaimanakah Datuk Seri melihat kesiapsiagaan pihak berkuasa memberikan bantuan kecemasan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba, paramedik dan Angkatan Pertahanan Awam (APM)?

J: Kejadian berlaku pada 8.33 malam, pada minit awal selepas kemalangan petugas tergamam sekejap. Mereka kemudian memaklumkan kepada Pusat Kawalan Operasi (OCC) yang kemudiannya terus menghubungi polis.

Pada jam 8.50 malam, PDRM, bomba, paramedik dan APM tiba selepas 13 minit dimaklumkan mengenai kemalangan. Ini satu tindakan pantas.

S: Datuk Seri beberapa kali melawat mangsa cedera parah dan dirawat di HKL, apakah bentuk jaminan kebajikan diberikan?

J: Sebenarnya ia terbahagi kepada dua. Apa yang diumumkan Prasarana adalah wang ehsan. Pada masa sama, Prasarana juga melindungi pengguna perkhidmatannya dengan insurans.

Jadi, kos rawatan memang ditanggung. Kita bukan sekadar merawat kerana mungkin ada penumpang memerlukan rawatan susulan. Itupun memang dalam tindakan kita untuk beri bantuan kepada mereka.

Apa yang penting, kita mahu pastikan mereka yang setakat ini (malam semalam) masih berada di unit rawatan rapi (ICU) HKL diberi rawatan terbaik. Kita doakan mereka supaya cepat sembuh.

Sebab itu saya meluangkan masa sejam, berbincang dengan pakar bedah dan pihak HKL bagaimana keadaan mangsa berbanding semalam.

Keluarga mereka masih panik, selain ingin mengetahui status terkini. Kami faham perasaan keluarga dan pada masa sama doktor sedang bertungkus-lumus mengambil tindakan terbaik.

Sebagai contoh mereka sangat cepat melakukan pembedahan. Apabila sampai sahaja mangsa yang ada pendarahan otak, mereka terus jalankan pembedahan. Ini antara tindakan cepat pakar HKL.

Mereka juga menggunakan khidmat 300 kakitangan untuk menguruskan penumpang cedera. Ini jumlah yang tak kecil.

Pada mulanya saya kata, kita ada 166 cedera ringan, 47 lagi cedera tak ringan. Saya tak gunakan terma kecederaan berat.

Selepas itu baru dapat kita bezakan (tahap kecederaan sebenar) setelah pemeriksaan doktor mengesahkan yang ini lebih kepada luka, ada lebih pada kecederaan tulang, ada sampai pendarahan otak dan sebagainya. Ini kerja pakar perubatan mengesahkan.

Keesokannya, 61 penumpang cedera dibenar balik dan enam sahaja masih berada di hospital, iaitu lima di HKL, manakala seorang lagi dipindahkan ke sebuah pusat perubatan swasta atas permintaan sendiri.

Saya berpeluang bercakap dengan keluarga keenam-enam mangsa yang masih dirawat di hospital. Saya sangat bersimpati dengan ujian dihadapi mereka dan berbincang dengan keluarga mangsa untuk mendengar pandangan serta permintaan mereka, selain menjawab apa juga kemusykilan.

Kami berkomunikasi dengan baik dan saya juga dari semasa ke semasa memaklumkan status terkini yang saya peroleh.

Bahagian Perancangan Rel Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) melakukan pemeriksaan pada kawasan rel yang berlakunya kemalangan. - Foto ihsan FB Wee Ka Siong
Bahagian Perancangan Rel Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) melakukan pemeriksaan pada kawasan rel yang berlakunya kemalangan. - Foto ihsan FB Wee Ka Siong

Kerja pengalihan dua tren LRT yang bertembung dalam terowong berhampiran Stesen KLCC dan Stesen Kampung Baru pada 24 Mei lalu. - Foto fail
Kerja pengalihan dua tren LRT yang bertembung dalam terowong berhampiran Stesen KLCC dan Stesen Kampung Baru pada 24 Mei lalu. - Foto fail

S: Datuk Seri ada membuat kenyataan mangsa ini boleh menyaman Prasarana?

J: Bukan begitu. Saya tak kata suruh saman. Saya menjawab pertanyaan wartawan sama ada mereka (mangsa) sudah mengambil tindakan undang-undang, apa komen Datuk?

Saya kata, Malaysia ini adalah sebuah masyarakat atau negara demokratik. Apa juga tindakan, asalkan berpandukan lunas undang-undang, maka kita kena hadapi.

Saya serahkan kepada Prasarana untuk berdepan dengan tindakan sedemikian. Namun, kita akan berpandukan lunas undang-undang. Itu saja saya cakap.

Kalau mereka berasa ada hak (mengambil tindakan perundangan), kita kena menerima hakikat ini asalkan mengikut lunas undang-undang. Sebab itu saya cakap secara umum, saya tidak suruh mereka saman. Saya tahu itu soalan perangkap.

S: Pada malam kejadian, Datuk Seri segera mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Siasatan Kes Kemalangan Tren LRT Laluan Kelana Jaya untuk menyiasat insiden ini. Berdasarkan kelaziman siasatan kemalangan sebegini, apakah aspek akan diambil kira?

J: Kita bukan saja melihat kepada kemungkinan faktor manusia kerana banyak lagi faktor lain perlu diambil kira seperti adakah disebabkan ketidaksempurnaan sistem ataupun persemboyanan atau disebabkan komunikasinya.

Kita perlu lihat dari semua aspek, apa menjurus kepada berlakunya kemalangan ini. Saya tidak mengehadkan kepada satu perspektif, tidak! Ini perlu dilihat daripada perspektif lebih besar dan apakah yang menjadi faktor penyumbang.

Mengikut akta, kejadian sebegini perlu kita ambil tindakan segera. Mengikut prosedur operasi standard (SOP), Ketua Pengarah Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) mesti menghantar laporan awal kepada menteri dalam tempoh 24 jam selepas berlakunya kemalangan.

Pada pagi keesokannya, saya menerima satu laporan untuk diteliti. Itu cuma dapatan awal bagaimana ia berlaku. Namun, kita memerlukan perincian bagaimana perlanggaran berlaku?

Bukankah itu (tren) automatik tanpa pemandu, kenapa pula tiba-tiba ada pemandu di situ dan apa menyebabkan seseorang dikerahkan ke sana.

Semua perkara ini perlu dilihat secara holistik dan dimasukkan dalam skop siasatan oleh jawatankuasa siasatan bebas diketuai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pengangkutan (MOT).

Mereka diberi masa 14 hari daripada hari kejadian untuk melengkapkan laporan. Apabila siap, saya akan bentangkan laporan itu kepada Kabinet. Selepas itu biasanya kita akan maklumkan kepada masyarakat.

S: Boleh Datuk Seri jelaskan mengenai pemilihan pakar menganggotai jawatankuasa siasatan?

J: Mungkin ada tak tahu latar belakang mereka, salah seorang ialah Yuslizar Daud, iaitu bekas Ketua Bahagian Rel Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Beliau pernah bekerja di London dan sememangnya pakar dalam bidang rel.

Kedua, kita ada Anthony Arokianathan, iaitu pakar dalam sistem signalling. Beliau berkhidmat dalam sektor swasta dan pakar dalam bidangnya.

Ketiga, kalau kita ingat lagi mantan Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Prof Dr Wong Shaw Voon yang mempunyai pengalaman luas dalam siasatan kemalangan pada peringkat antarabangsa.

Walaupun fokusnya kemalangan jalan raya, beliau memahami protokol siasatan antarabangsa, selain mempunyai pengalaman membuat simulasi pelanggaran itu. Beliau kini berkhidmat di Fakulti kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM).

Keempat, kita ada Prof Madya Dr Nor Aziati Abdul Hamid daripada Pusat Kecemerlangan Industri-Rel (ICOE-REL), Institut Kejuruteraan Integrasi, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Keempat-empat tokoh ini adalah pakar atau technical person.

Ada juga bertanya, kenapa Brigedier Jeneral Izani Ismail dilantik? Beliau sebenarnya ketua penyiasat kepada semua kes nahas udara di negara ini dan berpengalaman dari segi protokol siasatan.

Kalau kita lihat, LRT menggunakan sistem komunikasi Thales yang juga digunakan dalam industri penerbangan. Jadi sistem komunikasi diguna adalah sama.

Walaupun jawatannya Ketua Inspektor Kemalangan Udara, Biro Siasatan Kemalangan Udara MOT, beliau bukan pegawai biasa kerana beliau hanya menjawab kepada menteri.

S: Ada pihak berpendapat, kenapa perlu menubuhkan jawatankuasa bebas membabitkan pihak luar sedangkan APAD boleh melaksanakan tugas ini kerana ini bidang kuasa mereka?

J: APAD ialah penyiasat. Pada jam 8.47 malam kejadian, pusat kawalan APAD menerima satu panggilan mengenai kemalangan berlaku. Mengikut protokol, mereka akan terus menghantar pegawai untuk melihat keadaan dan melakukan siasatan. Sebab itu, laporan pertama dalam masa 24 jam datang daripada APAD. Mereka berfungsi sebagai penyiasat.

Ada juga tanya kenapa tidak letak orang daripada Prasarana, ketua pegawai eksekutif atau mana-mana pegawainya dalam jawatankuasa siasatan.

Jawapan saya mudah, mereka pihak terbabit. Dua wakil pengawal selia tidak menganggotainya, jadi operator pun tak bolehlah ada dalam jawatankuasa itu.

Pelantikan lain seperti Pengerusi Jawatankuasa, Datuk Isham Ishak dibuat atas kapasitinya sebagai Ketua Setiausaha MOT. Beliau ada banyak pengalaman dan pengetahuan kerana menjadi pengarah projek untuk banyak projek rel di kementerian.

Timbalan Pengerusi, Normah Osman pula atas kapasiti Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) MOT untuk membantu KSU dari segi koordinasi kerja.

Saya lantik Wan Mohd Asraf Wan Saleh kerana beliau Setiausaha Bahagian Darat (MOT) mengetuai satu seksyen berkaitan pengangkutan darat, manakala Azlin Sabtu pula Penasihat Undang-Undang MOT yang datang daripada Pejabat Peguam Negara dan sudah tentu pakar dalam aspek perundangan.

S: Datuk Seri selaku pemegang ijazah doktor falsafah (PhD) bidang pengangkutan dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), apa aspek paling kritikal mesti diberi tumpuan jawatankuasa siasatan?

J: Saya minta jawatankuasa beri tumpuan terhadap beberapa perkara. Mereka diminta membuat satu laporan penilaian semboyan daripada pengeluar kerana saya hendak tengok teknologi digunakan.

Kedua, laporan penilaian sistem komunikasi daripada pengeluar sampailah kepada proses orang mengendalikannya di Rapid Rail. Kemudian saya hendak tahu keadaan tren sebelum dan selepas insiden termasuk laporan penyelenggaraan.

Banyak lagi laporan diperlukan seperti dari aspek operasi OCC semasa kejadian. Adakah setiap proses dipatuhi? Kemudian kita mahu tahu maklumat terperinci tahap kesihatan dan ujian air kencing pegawai terbabit.

Kita hendak tahu apa sebenarnya terjadi pada hari itu serta apakah iktibar dan penambahbaikan boleh kita ambil dan guna untuk elakkan kemalangan sama berulang pada masa depan.

Kemudian kita hendak kenal pasti keadaan membawa kepada kemalangan, selain meminta mereka menyiasat dan mengemukakan cadangan awal berhubung langkah pencegahan. Itu antara tujuan penyiasatan.

Kerja pemulihan untuk mengeluarkan dua tren yang bertembung di dalam terowong antara Stesen LRT Kampung Baru dan KLCC, Isnin lalu. - Foto ihsan Prasarana
Kerja pemulihan untuk mengeluarkan dua tren yang bertembung di dalam terowong antara Stesen LRT Kampung Baru dan KLCC, Isnin lalu. - Foto ihsan Prasarana

S: Sekiranya hasil siasatan menunjukkan ada kecuaian atau kesilapan SOP, apa tindakan boleh dikenakan kepada Prasarana?

J: Kita sama-sama tunggu laporan akhir dahulu, ada kurang daripada 10 hari sahaja. Saya tidak mahu membuat penghakiman lebih awal kerana kita sudah serah kepada jawatankuasa bebas untuk membuat siasatan.

Hari ini (Jumaat lalu) dan Isnin (esok) mereka membuat temu bual dengan pihak terbabit, termasuk kakitangan mengendalikan perkhidmatan dan saksi kejadian dalam kalangan penumpang. Semua ini dalam tindakan.

Apa jua dapatan jawatankuasa ini kita akan perhalusi dan beri perhatian kerana kita mahu mencari satu formula bagaimana kita bergerak ke depan dan apakah cadangan penambahbaikan serta di manakah kelemahan kita.

Kalau ada kesilapan, kita kena mengakui dan ambil tindakan. Setakat ini belum sampai ke tahap itu, apa yang perlu dibuat ialah siasatan dahulu. Kemudian melihat kesimpulan dan keputusannya. Pada waktu itu kita akan tentukan apa yang kita hendak buat.

S: Adakah kemalangan sebegini memberikan kesan kepada perancangan kerajaan dalam memajukan sektor pengangkutan awam negara khususnya rel?

J: Tidak, projek rel sedia ada tidak terkesan. Transit Aliran Massa (MRT) 2 masih dalam pembinaan, MRT3 bakal dibina, begitu juga LRT3. Semuanya tidak terkesan.

Begitu juga Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Projek Landasan Berkembar Elektrik kerana pembangunan rel memberi kesan besar kepada pembangunan negara disebabkan ramai bergantung kepadanya seperti LRT.

Sebelum pandemik COVID-19, LRT digunakan 750,000 penumpang pada setiap hari. Apabila berlaku satu insiden seperti Isnin lalu, apa menjadi ujian kepada kita adalah bagaimana untuk mencari penyelesaian.

Contohnya, ada landasan perlu ditutup, ada tempat ditutup bekalan kuasanya. Ia pasti mengundang kesan bottle neck, cabarannya adalah bagaimana untuk kita menguruskan trafik ini dengan baik. Inilah antara perkara boleh kita ambil sebagai iktibar dan pengajaran.

Ir Ts Dr Yuen Choon Wah.
Ir Ts Dr Yuen Choon Wah.

Kaji semula sistem, SOP sedia ada pastikan terus relevan

S: Selama 23 tahun beroperasi, tidak pernah lagi berlaku kemalangan Transit Aliran Ringan (LRT). Ini antara indikator prosedur operasi standard (SOP) dan sistem keselamatannya dalam keadaan baik. Jadi bagaimana Dr melihat kemalangan LRT Isnin lalu?

J: Kemalangan ini sangat ganjil, tetapi boleh dielakkan. Walaupun laporan siasatan kemalangan belum keluar, saya berpendapat kita mesti cuba terbaik bagi mengelakkan perkara sama berlaku.

Walaupun tiada kemalangan berlaku sebelum ini, kita harus memastikan sistem operasi tren sentiasa berkeadaan baik dan diselenggara.

S: Apakah pengajaran terbesar sebagai iktibar daripada kemalangan LRT ini?

J: Kita perlu kaji semula sistem dan SOP sedia ada, contohnya perkara harus diikuti apabila berlaku kecemasan, komunikasi antara bilik kawalan dengan juruteknik dan langkah keselamatan harus diikuti. Jika puncanya daripada sistem kawalan sedia ada, maka kita kena kaji dan membaiki sistem ini.

S: Apakah harapan Dr terhadap siasatan sedang dilakukan panel siasatan ditubuhkan Kementerian Pengangkutan?

J: Saya harap panel pakar boleh menyiasat dengan terperinci punca berlaku kemalangan, terutama dalam sistem kawalan tren dan SOP sedia ada. Saya faham manusia melakukan kesilapan, tetapi saya harap sistem kawalan sedia ada dapat melindungi kesilapan manusia bagi mengelakkan kemalangan seumpama berlaku.

S: Siasatan awal mendapati faktor kesilapan manusia sebagai antara punca kejadian. Jadi apakah SOP operasi LRT perlu ditambah baik atau diperketatkan? Apakah aspek yang perlu diberi perhatian?

J: Seperti saya sebutkan tadi, SOP operasi mesti dikaji dan ditambah baik. Misalnya, setiap langkah diambil apabila berlakunya satu insiden, sama ada System Automatic Train Protection (ATP) berfungsi dengan baik ataupun boleh override oleh juruteknik.

Turut perlu diberi perhatian adakah juruteknik terbabit mendapat latihan mencukupi dan kompeten dalam pelaksanaan tugas berkenaan.

Tinjauan orang ramai yang pulang bekerja menggunakan tren LRT. - NSTP/Aswadi Alias
Tinjauan orang ramai yang pulang bekerja menggunakan tren LRT. - NSTP/Aswadi Alias

S: Berkenaan sistem komputer kawalan LRT, adakah sudah tiba masanya untuk diaudit secara menyeluruh supaya tidak terdedah dengan risiko?

J: Saya rasa sistem komputer dan kawalan tren harus terkini dan alatan yang digunakan dalam operasi perlu sentiasa diselenggara serta ditentu ukur kalau perlu.

Saya tidak pasti sama ada penambahbaikan sistem dan alatan ini mendapat peruntukan secukupnya daripada syarikat pengendali.

Namun, saya rasa ini adalah tanggungjawab syarikat bagi memastikan perkhidmatan diberikan adalah pada tahap tertinggi dan selamat.

S: Ada berpendapat kemalangan LRT ini berpunca daripada kegagalan sistemik atau organisasi, apa pandangan Dr?

J: Saya rasa bukan. Namun, jika dibuktikan berlaku masalah teknikal tren atau sistem kawalan tren adalah disebabkan kekurangan peruntukan untuk menjalankan kerja penyelenggaraan berkala, maka saya rasa pihak pengurusan perlu bertanggungjawab dalam hal ini.

S: Sejauh manakah kemalangan ini memberi impak kepada perancangan kerajaan dalam memperkasakan pengangkutan awam khasnya perkhidmatan rel.

J: Saya rasa daripada kejadian ini, kerajaan harus memastikan pihak pengurusan tren seperti Rapid Rail, MRT Corp dan sebagainya mengkaji semula sistem pengurusan dan SOP sedia ada bagi menjamin keselamatan perkhidmatan yang diberi.

Namun, saya rasa kerajaan akan dan seharusnya terus mengembangkan perkhidmatan pengangkutan awam termasuk perkhidmatan rel kerana ini adalah salah satu penyelesaian berkesan bagi masalah pengangkutan yang timbul di negara kita seperti kesesakan lalu lintas, kemalangan jalan raya dan sebagainya.

S: Selepas apa yang berlaku, adakah pengangkutan rel masih merupakan mod pengangkutan paling selamat dan akan terus menjadi pilihan pengguna?

J: Saya rasa bagi pengguna pengangkutan rel sedia ada akan terus menggunakan pengangkutan ini. Mungkin akan ada suatu masa singkat yang bilangan penumpang rel akan kurang, tetapi selepas tempoh itu mereka masih akan memilih mod pengangkutan ini.

S: Apa yang boleh dilakukan untuk mengekalkan keyakinan masyarakat?

J: Bagi mengekalkan keyakinan masyarakat, seperti saya sebutkan tadi, kerja dan laporan penyiasatan haruslah telus dan terbuka serta diumumkan dan boleh disemak orang ramai.

Selain itu, segala kerja penambahbaikan atau penyelenggaraan dijalankan pihak pengendali juga harus diumumkan kepada pengguna supaya mereka mengetahui dan menghargai segala usaha diambil pihak pengendali dalam pembekalan perkhidmatan dipercayai dan selamat. Ini dapat memulihkan keyakinan penumpang.

Berita Harian X