Khamis, 27 Mei 2021 | 4:54pm
Gelombang ketiga penularan virus COVID-19 kini menjangkiti ramai golongan muda. - Foto NSTP
Gelombang ketiga penularan virus COVID-19 kini menjangkiti ramai golongan muda. - Foto NSTP

COVID-19: Gelombang ketiga jangkiti ramai golongan muda

KUALA LUMPUR: Gelombang ketiga penularan COVID-19 dikesan lebih banyak menjangkiti golongan muda berusia lingkungan 20 hingga 40 tahun, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Tanpa memberikan perincian peratusan, beliau berkata, keadaan itu menunjukkan peningkatan jangkitan melalui kes sporadik.

"Data terkini Pusat Kesiapsiagaan dan Respons Krisis (CPRC) mendapati gelombang ketiga COVID-19 lebih banyak menjangkiti golongan muda.

"Ini menunjukkan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan lebih banyak kes sporadik atau tiada kaitan dengan kluster," katanya pada sidang media secara maya hari ini.

Dr Adham berkata, sebanyak 6,579 kes jangkitan COVID-19 membabitkan kanak-kanak bawah usia dua tahun direkodkan dari 25 Januari tahun lalu sehingga semalam.

Selain itu, beliau berkata, jumlah pesakit COVID-19 dengan gejala serius iaitu tahap empat dan lima juga meningkat sebanyak 15 peratus dalam gelombang ketiga, berbanding lima peratus sebelum ini.

"Malah mereka yang mendapatkan rawatan dalam kategori empat dan lima juga meningkat, berbanding gelombang kedua.

"Jadi saranan kita kepada masyarakat supaya sentiasa berwaspada. Bagi yang dijangkiti dan dirawat sama ada di hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) kita pantau sebaiknya.

"Bagi mereka yang pada awal didapati tidak bergejala, tetapi kemudiannya bergejala serius, diminta segera hubungi fasiliti kesihatan," katanya.

Pesakit kategori satu merujuk individu dijangkiti yang tidak bergejala, manakala kategori dua bergejala ringan dan kategori ketiga individu yang bergejala dengan tanda radang pada paru-paru.

Kategori empat adalah pesakit mempunyai gejala keradangan paru-paru agak teruk dan memerlukan bantuan oksigen, manakala kategori lima gejala dialami sangat teruk, memerlukan rawatan intensif di unit rawatan rapi (ICU) dan mesin bantuan pernafasan.

Berita Harian X