Rabu, 26 Mei 2021 | 6:10pm
Seramai 80 peratus penjawat awam akan Bekerja Dari Rumah (BDR) sepanjang pelaksanaan arahan SOP PKP 3.0 lebih ketat mulai 25 Mei lalu. - Foto hiasan NSTP
Seramai 80 peratus penjawat awam akan Bekerja Dari Rumah (BDR) sepanjang pelaksanaan arahan SOP PKP 3.0 lebih ketat mulai 25 Mei lalu. - Foto hiasan NSTP

BDR: KSU, JPA turun padang pantau perkhidmatan awam

KUALA LUMPUR: Pemantauan akan dibuat terhadap mutu khidmat penjawat awam terutama jika ada aduan dibuat sepanjang tempoh pelaksanaan operasi pejabat kerajaan secara hibrid dengan 80 peratus penjawat awam diarahkan Bekerja Dari Rumah (BDR).

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, berkata setakat ini pihaknya belum menerima aduan atau laporan berhubung pelanggaran arahan berkenaan yang berkuat kuasa semalam.

"Setakat ini saya masih belum terima aduan kerana arahan ini juga baru dikeluarkan. Bagaimanapun, saya dan Ketua Setiausaha Negara (KSN) akan turun padang secara mengejut ke jabatan sekiranya ada aduan. Kebanyakan pejabat masih melakukan penyesuaian dan membuat penjadualan yang baharu.

"Mungkin selepas cuti umum (hari ini), kita akan mulakan penaziran," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman. - Foto fail BERNAMA
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman. - Foto fail BERNAMA

Sabtu lalu, Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan sebanyak 80 peratus daripada kakitangan awam akan bekerja dari rumah dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19.

Mohd Khairul Adib berkata, beliau tidak menjangkakan berlaku penyusutan dalam perkhidmatan kerana pejabat akan dibuka seperti biasa. Orang awam yang ada urusan masih boleh berurusan dengan mengatur janji temu atau terus ke kaunter kerana semua perkhidmatan akan terus dibuka.

"Kami juga menetapkan pelbagai bentuk penggiliran. Ada pekerja yang masuk sebelah pagi dan digantikan oleh orang lain pada sesi petang. Jadi semua perkhidmatan akan tetap dibuka kerana kita ingin terus menyokong ekonomi. Maka sekiranya orang awam ada permohonan untuk kelulusan pelan dan seumpamanya, ia boleh diteruskan," katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, berkata JPA sudah mengeluarkan garis panduan pengoperasian pejabat kerajaan yang terperinci pada 24 Mei lalu yang menghuraikan tanggungjawab untuk melaksanakan tugas dalam tempoh BDR berasaskan Pekeliling Perkhidmatan 5 tahun 2020 – Dasar Bekerja Dari Rumah.

Sebagai tambahan, kementerian dan jabatan juga diarahkan untuk memastikan pegawai-pegawai yang diarahkan BDR membuat 'forwarding call' (pemindahan panggilan) ke telefon bimbit masing-masing bagi memastikan mereka dapat dihubungi oleh pelanggan dalam tempoh waktu bekerja.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali. - foto BERNAMA
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali. - foto BERNAMA

"Saya juga berkali-kali menekankan kepada ketua-ketua jabatan, sekiranya berlaku ketidakpatuhan terhadap arahan ini, tindakan tatatertib akan dilaksanakan kepada pegawai terbabit.

"Kita akan terus menyokong inisiatif yang dilaksanakan kerajaan dalam usaha membendung penularan COVID-19 tanpa berkompromi dengan pelaksanaan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada perkhidmatan awam," katanya.

Tambahnya, ketua jabatan perlu bijak dalam membuat perancangan dan penggiliran warga kerja untuk memastikan arahan ini sentiasa dipatuhi dan pelaksanaan kerja tidak terganggu.

Berita Harian X