Selasa, 25 Mei 2021 | 6:01pm
Pengoperasian pejabat kerajaan dilaksanakan secara hibrid iaitu keberadaan kakitangan di pejabat dan bekerja dari rumah (BDR) susulan pelaksanaan PKP 3.0 bermula hari ini. - NSTP/FADLI HAMZAH
Pengoperasian pejabat kerajaan dilaksanakan secara hibrid iaitu keberadaan kakitangan di pejabat dan bekerja dari rumah (BDR) susulan pelaksanaan PKP 3.0 bermula hari ini. - NSTP/FADLI HAMZAH

BDR tidak patut jadi masalah - MTUC

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan bekerja dari rumah (BDR) seharusnya lebih lancar kali ini dan tidak menimbulkan kekeliruan dari aspek prosedur operasi standard (SOP) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai hari ini.

Pemangku Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani, berkata semua pihak perlu berperanan dan mematuhi peraturan demi mengurangkan kes baharu COVID-19.

"Kita yakin kerajaan sudah mengambil langkah terbaik dengan mengetatkan PKP 3.0 dan tidak sepatutnya menjadi masalah untuk pelaksanaan BDR kerana ia menjadi norma biasa sejak PKP pertama.

"Pekerja juga perlu menunjukkan komitmen yang baik dan tidak menyalahgunakan BDR untuk keluar hingga menimbulkan risiko jangkitan kepada diri dan keluarga," katanya kepada BH, hari ini.

Bermula hari ini, kira-kira 80 peratus penjawat awam atau 750,000 kakitangan dan 40 peratus kakitangan dalam sektor swasta (6.1 juta) mula melaksanakan BDR.

Langkah itu bagi membolehkan kawalan lebih mudah dari segi aktiviti harian, mengurangkan kesesakan jalan raya dan pergerakan rakyat untuk mengekang penularan COVID-19 melalui pelaksanaan PKP.

Ia adalah satu daripada dua strategi kerajaan termasuk mengehadkan operasi sektor ekonomi dalam usaha mengurangkan pergerakan rakyat untuk mengekang penularan COVID-19 melalui pelaksanaan PKP kali ini.

Mohd Effendy berkata, kerajaan diharap dapat mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi membolehkan segenap lapisan diberi pelalian ke arah mencapai tahap 80 penduduk divaksin atau imuniti kelompok.

"Rakyat mahu vaksinasi COVID-19 segera dilaksanakan bagi mengawal kadar kebolehjangkitan," katanya.

Beliau mencadangkan majikan yang tidak mempunyai kesatuan supaya mewujudkan jawatankuasa khas bagi membolehkan tindakan pantas diambil di tempat kerja jika kes positif dikesan, selain langkah susulan.

Katanya, ia termasuk sanitasi pejabat dengan kerap berbanding melakukannya apabila hanya ada kes COVID-19 dilaporkan.

Berita Harian X