Isnin, 24 Mei 2021 | 2:56pm
Allahyarham Haziq Kamaruddin
Allahyarham Haziq Kamaruddin

Polis siasat individu sebar berita palsu punca kematian pemanah negara

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan wanita dikenali dengan nama Aqila Yusri berhubung kes berita palsu mendakwa kononnya punca kematian pemanah negara, Allahyarham Haziq Kamaruddin adalah kerana darah tersumbat akibat pengambilan vaksin AstraZeneca.

Rakaman video berdurasi tiga minit 34 saat yang tular juga mendakwa Kementerian Kesihatan (KKM) menyembunyikan punca sebenar kematian terbabit.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan, berkata pihaknya menerima laporan rakaman video itu dikatakan memaparkan berita palsu daripada seorang pelajar perempuan pada 22 Mei lalu.

"Siasatan awal mendapati rakaman video berkenaan dimuat naik menerusi status WhatsApp milik penama, Aqila Yusri selain dimuat naik dalam Instagram @agilayusri.

"Hasil penelitian dalam video itu mendapati terdapat seorang wanita menyatakan kematian Allahyarham Haziq berpunca daripada saluran darah tersumbat akibat ambil vaksin berkenaan.

"Malah, terdapat juga dakwaan bahawa KKM melaporkan jumlah kes positif yang tidak tepat," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan hasil bedah siasat pemanah negara itu mendapati tidak menunjukkan punca kematiannya disebabkan vaksinasi COVID-19.

Ketua Perkhidmatan Perubatan Forensik Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Zahari Noor dipetik berkata, setakat ini bedah siasat menunjukkan punca kematian adalah disebabkan komplikasi salur darah jantung tersumbat akibat daripada perubahan arterosklerosis (coronary artery atherosclerosis).

Sementara itu, Mohd Zaid berkata, kes penularan berita palsu itu disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKMM) 1998.

"Orang ramai diminta supaya tidak menularkan sebarang maklumat yang tidak sahih di media sosial kerana dikhuatiri menimbulkan kegusaran dalam kalangan masyarakat," katanya.

Berita Harian X