Isnin, 24 Mei 2021 | 11:58am
Sharon (kanan) ketika menjalani rawatan intensif COVID-19 di Hospital Melaka.
Sharon (kanan) ketika menjalani rawatan intensif COVID-19 di Hospital Melaka.

'Saya bertarung nyawa di ICU'

KUALA LUMPUR: "Sepanjang hidup saya tidak akan melupakan malam 1 Mei lalu ketika bertarung nyawa dengan virus COVID-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU)," kata Eksekutif Jualan, Toh Sharon, 48, sepanjang beliau menjalani rawatan intensif COVID-19 selama 20 hari di Hospital Melaka.

Beliau berkata, degupan jantungnya jatuh sehingga 40 denyutan seminit setiap 30 minit ketika diberi bantuan pernafasan dan ia pada paras bahaya kerana paras normal ialah 60 hingga 100 degupan seminit.

Ibu dua anak berusia 22 dan 25 tahun itu, tidak menyangka pengalaman ngeri dilaluinya akibat virus COVID-19 sehingga terpaksa bertarung nyawa dengan bantuan mesin pernafasan sebagai pesakit tahap empat.

"Walaupun badan saya penuh dipasang tiub bantuan pernafasan disambung ke tangki oksigen, antara sedar dan tidak, saya masih sukar bernafas seolah-olah hampir putus nyawa.

"Mujurlah saya cekal melawan dan terus kuat meneruskan perjuangan untuk hidup sehinggalah paras oksigen dalam badan semakin pulih dengan bantuan barisan petugas hadapan," katanya.

Kejadian bermula apabila beliau makan malam dengan seorang rakan di sebuah restoran di Melaka pada 18 April lalu dan kemudiannya dimaklumkan statusnya sebagai kontak rapat kepada rakannya yang disahkan positif COVID-19 tiga hari selepas itu.

Sharon yang berasal dari Bandaraya Melaka kemudian hadir ke klinik kesihatan untuk membuat ujian calitan COVID-19 bersama anak lelakinya pada 22 April lalu dan disahkan positif.

"Anak lelaki saya disahkan negatif. Sebenarnya sehari sebelum ujian calitan itu, saya mengalami gejala demam, sakit tekak, selsema, cirit-birit dan sakit sengal sehingga sukar bangun tidur.

"Saya dipakai gelang merah jambu, diarah terus kuarantin di rumah dan menunggu panggilan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk dibawa ke hospital terlebih dulu sebelum dipindahkan ke pusat kuarantin MAEPS di Serdang, Selangor," katanya.

Ketika Sharon menunggu giliran dipindahkan ke pusat kuarantin di Hospital Melaka pada 25 April lalu, beliau dimaklumkan petugas kesihatan kandungan oksigen dalam badannya kurang 88 peratus dan terpaksa dimasukkan ke ICU untuk pemantauan selepas menjalani pemeriksaan.

"Kandungan oksigen normal 95 peratus ke atas, ketika itu saya terpinga-pinga dan mengikut arahan petugas kesihatan untuk ke ICU Hospital Melaka, namun pada malam itu suhu badan saya naik mendadak sehingga 39.6 darjah Celsius dan terus tidak sedarkan diri.

"Keesokan harinya, badan saya penuh dengan tiub bantuan pernafasan dan doktor memberitahu seluruh paru-paru saya dijangkiti virus berdasarkan laporan X-ray, " katanya.

Sharon berkata, beliau diberi pilihan mengambil ubat antiviral Favipiravir selama lima hari bagi membantu memulihkan keadaan paru-parunya dan turut diberitahu kesan sampingannya serta pengambilannya masih dalam fasa klinikal.

"Sepanjang pengambilan ubat itu, saya tidak boleh mengambil ubat demam dan perlu mandi air sejuk setiap hari bagi menurunkan suhu badan sehinggalah pada satu tahap suhu badan semakin tinggi dan terpaksa dicucuk steroid untuk merawat paru-paru," katanya.

Selepas sembilan hari di ICU, keadaannya semakin pulih dan dibenarkan berpindah ke wad biasa namun masih di bawah pemantauan.

"Selepas 20 hari di hospital, pada 14 Mei lalu saya dibenarkan discaj, namun doktor menasihatkan tidak menjalankan aktiviti lasak seperti sebelum ini kerana bila-bila masa saja virus itu akan menyerang jika saya tidak menjaga prosedur operasi standard (SOP) dengan baik.

"Keadaan kesihatan saya tidak seperti dulu kerana mudah letih dan perlu berjaga-jaga dari segi kehidupan seharian kerana saya dalam fasa pemulihan," katanya.

Sementara itu, jurufoto akhbar berbahasa Mandarin, Soh Teong Kok, 35, berkata beliau membuat saringan COVID-19 pada 21 April lalu di hospital swasta akibat demam panas dan keputusannya negatif.

Soh Teong Kok ketika dirawat di hospital swasta akibat jangkitan COVID-19 baru-baru ini. - Foto BERNAMA
Soh Teong Kok ketika dirawat di hospital swasta akibat jangkitan COVID-19 baru-baru ini. - Foto BERNAMA

"Bagaimanapun, saya berasa letih dan tercungap-cungap, selain batuk teruk pada waktu malam selama seminggu menyebabkan saya insomnia, selain hilang deria rasa dan bau.

"Selepas sembilan hari tidak bermaya, saya dipapah ahli keluarga ke hospital swasta membuat ujian sekali lagi dan diarahkan masuk ke wad ICU kerana keadaan ketika itu sudah kritikal," katanya.

Disebabkan paras oksigen dalam badannya rendah ketika itu, beliau terpaksa dikomakan untuk bantuan pernafasan oleh petugas kesihatan di ICU.

"Selepas sedar koma selama empat hari, doktor memaklumkan keadaan saya mencapai tahap kelima. Perasaan ketika itu sangat perit kerana saya terlantar di katil tanpa boleh bergerak dan badan dipenuhi wayar serta tiub pernafasan," katanya.

Selepas lapan hari di ICU, beliau ditukarkan ke wad biasa, namun masih memerlukan pemantauan rapi dan bantuan pernafasan.

"Saya bersyukur melepasi paras berbahaya dan deria bau serta rasa semakin pulih dan dibenarkan discaj sehari sebelum Aidilfitri," katanya.

Katanya, punca jangkitan COVID-19 mungkin daripada rakan ataupun orang awam yang tidak bergejala, namun penangan virus ini sangat hebat hingga hampir meragut nyawanya.

"Mungkin kita rasa sihat dan selalu berkumpul serta berjumpa rakan, namun sebenarnya kita tidak sedar virus sudah ada dalam komuniti. Bila-bila masa boleh dijangkiti jika kita memandang ringan dengan keluar rumah dan tidak mematuhi SOP," katanya. - BERNAMA

 Gambar hiasan
Gambar hiasan

Berita Harian X