Ahad, 23 Mei 2021 | 12:08am

PKP 3.0: MEF gesa majikan patuhi sepenuhnya SOP

KUALA LUMPUR: Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menggesa semua majikan mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) terbaru lebih ketat yang ditetapkan bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ia termasuk mewajibkan 40 peratus kakitangan sektor swasta untuk bekerja dari rumah (BDR) dan memendekkan waktu operasi perniagaan, sebagai sebahagian strategi bagi melandaikan lengkung penularan COVID-19.

Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, berkata semua majikan bertanggungjawab memastikan matlamat itu dicapai dengan mematuhi segala SOP bagi mengurangkan kadar jangkitan virus itu.

"Apabila trend menunjukkan situasi semakin baik nanti, mungkin kerajaan akan mempertimbang untuk melonggarkan SOP.

"Justeru kini, ia di tangan kita. Marilah kita semua bekerjasama menjayakannya," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Terdahulu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan sebanyak 80 peratus penjawat awam dan 40 peratus kakitangan sektor swasta akan terbabit BDR, bermula Selasa depan, dalam usaha kerajaan mengurangkan pergerakan rakyat untuk mengekang penularan COVID-19.

Peratusan itu membabitkan kira-kira 750,000 kakitangan awam dan 6.1 juta pekerja swasta.

Sebelum ini, kehadiran ke pejabat bagi sektor swasta dibenarkan hingga 30 peratus bagi kumpulan pengurusan dan jumlah pekerja operasi atau sokongan yang ditetapkan majikan.

SOP terbaru juga menetapkan waktu operasi perniagaan akan dihadkan dari jam 8 pagi hingga 8 malam saja, berbanding hingga 10 malam sebelum ini.

Bagi kerja seperti pengeluaran yang tidak boleh dilakukan di rumah pula, Syed Hussain berharap kerajaan akan memberi garis panduan fleksibel untuk majikan dan pekerja menyelesaikan masalah berkaitan dengan baik apabila pekerja terbabit tidak dibenarkan datang bekerja.

Beliau turut meminta majikan mengingatkan pekerja mereka supaya tidak menyalahgunakan pas dan surat kebenaran pekerja, atau tindakan tatatertib boleh diambil kerana ketidakpatuhan kepada SOP di dalam serta luar premis kerja.

"Jika perlu, ini dapat dilakukan berdasarkan sejarah pergerakan dalam aplikasi MySejahtera," katanya.

Berita Harian X