Sabtu, 22 Mei 2021 | 5:46pm

Hampir 7 juta pekerja BDR mulai 25 Mei

KUALA LUMPUR: Sebanyak 80 peratus penjawat awam dan 40 peratus kakitangan dalam sektor swasta akan bekerja dari rumah (BDR), bermula 25 Mei ini.

Ia adalah satu daripada dua strategi kerajaan, termasuk mengehadkan operasi sektor ekonomi, dalam usaha mengurangkan pergerakan rakyat untuk mengekang penularan COVID-19 melalui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata langkah itu secara keseluruhannya akan membabitkan hampir tujuh juta pekerja bagi kedua-dua sektor berkenaan.

"Sebanyak 80 peratus penjawat awam yang BDR akan membabitkan hampir 750,000 kakitangan. Maklumat lanjut akan diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara dalam masa terdekat.

"Sektor swasta juga akan mengurangkan jumlah pekerja yang hadir pada satu-satu masa kepada hanya 60 peratus, manakala 40 peratus lagi BDR.

"Ini bakal membabitkan hampir 6.1 juta pekerja swasta. Perincian mengenainya akan diumumkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI)," katanya pada sidang media bersama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, hari ini.

Menjelaskan lanjut, Ismail Sabri berkata, penambahan peratusan pekerja yang BDR itu akan memberi kesan besar terhadap pergerakan orang ramai.

"Ia bakal membolehkan kawalan lebih mudah dari segi aktiviti harian, dan saya percaya bahawa tidak akan ada kesesakan jalan raya seperti hari ini.

"Namun apa pun yang kita lakukan dengan prosedur operasi standard (SOP) diperketatkan ini, yang lebih penting ialah disiplin dan kawalan kendiri," katanya.

(Gambar fail) Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - FOTO BERNAMA
(Gambar fail) Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. - FOTO BERNAMA
Berita Harian X