Rabu, 19 Mei 2021 | 10:21am
Foto ihsan Facebook Noor Hisham Abdullah
Foto ihsan Facebook Noor Hisham Abdullah

Kebolehjangkitan COVID-19 terus meningkat

KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan (Rt) COVID-19 kebangsaan terus merekodkan peningkatan dengan 1.08 direkodkan semalam, berbanding 1.06 kelmarin.

Berdasarkan data dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook malam tadi, sembilan negeri serta Wilayah Persekutuan Labuan dan Putrajaya mencatatkan purata kadar lebih tinggi berbanding purata kebangsaan.

Pahang mencatatkan Rt tertinggi iaitu 1.27, disusuli Terengganu (1.25), Kedah (1.20), Perak (1.18) serta Melaka dan Selangor (1.16).

Ia diikuti Negeri Sembilan 1.13, Johor (1.11), Labuan dan Putrajaya masing-masing (1.10) dan Pulau Pinang (1.09).

Kuala Lumpur pula mencatatkan Rt pada kadar 1.07, sementara tiga negeri mencatatkan kadar di bawah 1.00 iaitu Sarawak, Kelantan dan Sabah masing-masing 0.98, 0.97 dan 0.96 selain Perlis pula merekodkan pertambahan dua kes.

Nilai Rt merujuk kepada berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin besar nilai itu, semakin tinggi kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

Semalam, Malaysia merekodkan kes kematian tertinggi akibat jangkitan COVID-19 selama dua hari berturut-turut, iaitu sebanyak 47 kes, berbanding 45 kes kelmarin.

Bagi kes baharu yang dilaporkan semalam, sebanyak 4,865 kes dikesan menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini meningkat kepada 479,421 kes.

Daripada jumlah itu, Selangor kekal mencatatkan pertambahan kes harian tertinggi dengan 1,743 kes, diikuti Sarawak (512), Kuala Lumpur (477), Johor (407) dan Kelantan (406).

Berita Harian X