Selasa, 18 Mei 2021 | 3:04pm
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP
Gambar hiasan. - Foto fail NSTP

Hentikan stigma pusat beli belah lokasi penularan wabak

KUALA LUMPUR: Premis peruncitan dan pusat beli belah tidak sewajarnya secara terus disasarkan sebagai lokasi 'panas' menerusi sistem amaran awal Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) memandangkan pelbagai langkah kawalan ketat terhadap premis sudah dilaksana.

Pemain industri itu dalam kenyataan bersamanya hari ini, menzahirkan rasa terkilan dengan kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, semalam mengenai aktiviti 'berhari raya' di pusat beli-belah yang didakwanya boleh mengundang penularan kepada jangkitan baru wabak.

Katanya, adalah tidak adil bagi pusat beli belah dilabel secara mudah sebagai lokasi yang berisiko menyebabkan penularan COVID-19 dengan mengambil kira kehadiran pengunjung, ketika pematuhan ketat prosedur operasi standard (SOP) terus dilakukan.

"Kami terkilan kerana pengurusan pusat beli belah sudah mengatur semula proses keluar masuk secara terperinci bagi memastikan aplikasi MySejahtera merekodkan maklumat tepat dan data yang dikumpul digunakan dalam Sistem HIDE tanpa diputarbelitkan.

"Kami percaya menteri mungkin tersalah memberi maklumat mengenai situasi sebenarnya dan tidak akan menghukum pusat membeli-belah kerana tiada kesalahan dilakukan," katanya.

Kenyataan bersama itu dikeluarkan Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK); Malaysia Retailers Association (MRA); Malaysia Retail Chain Association (MRCA) serta Organisasi Peruncitan Bumiputera (BRO).

Katanya, pengunjung dibenar memasuki pusat membeli-belah selagi mereka berada dalam kategori berisiko rendah dan pusat beli belah tidak mempunyai cara untuk menghalang orang ramai melakukan aktivitinya termasuk bagi tujuan membeli barang keperluan dan makanan untuk dibawa pulang.

"Tidak ada cara untuk pusat beli-belah menentukan sama ada individu berkenaan adalah sebahagian daripada kumpulan keluarga atau menjadi kesalahan bagi seisi keluarga keluar bersama, terutama apabila mereka sudah mematuhi SOP dan mematuhi penjarakan fizikal.

"Tanggungjawab harus diletakkan kepada rakyat untuk mengawal diri dan mengelak dalam perkumpulan ramai seperti itu kerana tidak mungkin pusat membeli-belah perlu bertindak seperti polis dan kami juga tidak mempunyai hak seperti itu," katanya.

Kenyataan itu juga berkata, pihak pengurusan pusat beli belah sentiasa meletakkan keutamaan kepada keselamatan pengunjung yang hadir selain meminta rundingan dilakukan membabitkan pihak berkepentingan dengan kerajaan untuk meneliti SOP berkesan bagi mengelak maklumat salah dan kesan negatif terhadap operasi industri.

"Perlu diingat pusat beli-belah dan sektor peruncitan berperanan penting dalam rantaian bekalan dan ekonomi negara dan kita terus menyokong supaya industri ini terus beroperasi," katanya.

Berita Harian X