Isnin, 17 Mei 2021 | 10:37am
- Foto fail BERNAMA
- Foto fail BERNAMA

MTEM cadang moratorium bersasar

KUALA LUMPUR: Majlis Tindakan Ekonomi Melayu Bersatu Berhad (MTEM) meminta kerajaan mempertimbangkan moratorium secara bersasar selama 12 bulan mengikut kriteria ditetapkan.

Felo Kanan MTEM, Ahmad Yazid Othman, berkata moratorium itu perlu terhad kepada nilai pinjaman untuk kenderaan berharga RM150,000 ke bawah, nilai hartanah bernilai RM1.5 juta ke bawah dan semua pinjaman bawah RM100,000 tanpa kenaikan kadar faedah.

Katanya, moratorium itu perlu dibuat jika kerajaan tidak dapat melaksanakan moratorium enam bulan bermula Jun sehingga September 2021 membabitkan semua jenis pinjaman perbankan, peminjam wang berlesen, pinjaman kredit termasuk kad kredit.

"Sudah tiba masa kerajaan mendengar suara rakyat dan bukan akur dengan kepentingan pihak bank atau taksub pada pandangan agensi penarafan antarabangsa," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Yazid berkata, MTEM menyokong sepenuhnya cadangan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menggunakan kuasa darurat untuk mendahulukan kepentingan rakyat.

Katanya, berdasarkan kenyataan DPMM dan selepas meneliti laporan terkini daripada Kementerian Kewangan, pihaknya beranggapan apa yang sudah atau sedang diberikan kerajaan masih tidak mencukupi untuk rakyat berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, MTEM menyokong keputusan kerajaan melaksanakan PKP 3.0 tetapi Kementerian Kewangan perlu mempertimbangkan bantuan tambahan yang diperlukan rakyat terutama peniaga dan usahawan Bumiputera.

"Selain itu saranan DPMM supaya melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada sektor perkilangan adalah tepat kerana dari situ punca 48 peratus atau hampir separuh keseluruhan penularan.

"Sektor ekonomi lain, terutama perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang majoriti adalah Bumiputera, seperti dihukum apabila aktiviti perniagaan mereka disekat akibat penularan wabak dari kluster kilang dan asrama pekerja.

"Ini amat tidak patut kerana syarikat yang memiliki kilang besar itulah yang sebenarnya meraih keuntungan besar atau mempunyai kapasiti kewangan lebih kukuh," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Yazid berkata, perkara itu mencetuskan tanda tanya sama ada mereka yang berkepentingan boleh mempengaruhi dasar dan penguatkuasaan dalam menangani COVID-19 sehingga menganaktirikan peniaga kecil yang lebih banyak memberi pendapatan kepada ramai pekerja tempatan.

Katanya, jelas sepanjang PKP 1.0 dan 2.0 orang ramai terdesak sehingga perlu mengeluarkan wang simpanan masa tua mereka dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) melalui i-Sinar dan i-Lestari berjumlah RM77.8 bilion.

"Jadi tidak salah kerajaan memberi pakej bantuan kewangan seperti Dana Sara Hidup COVID 3.0 berjumlah RM8 bilion untuk enam juta orang yang akan terbabit dengan bantuan sebanyak RM1,200 sebulan.

"Ini juga boleh disalurkan melalui subsidi upah di bawah kelolaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) bagi mereka yang layak iaitu mempunyai upah bawah RM5,000 yang diremit terus pada majikan," katanya.

Beliau berkata, MTEM bimbang dengan ekonomi Melayu jika tiada tindakan susulan dibuat kerana ia bukan sahaja dapat merencatkan pemulihan ekonomi tetapi boleh meningkatkan jurang kekayaan walaupun pandemik berakhir.

Baru-baru ini, DPMM mengesyorkan PKPD bersasar dilaksanakan bagi kilang yang menjadi punca penularan COVID-19 bermula 17 Mei hingga 17 Jun 2021.

Cadangan itu turut meminta semua pekerja asing yang digajikan atau diambil bekerja diletakkan di hotel bajet yang terdapat di daerah atau tempat asrama pekerja selama tempoh PKPD (26 hari) dilaksanakan.

Berita Harian X