Ahad, 16 Mei 2021 | 2:50pm
 Foto BERNAMA/hiasan
Foto BERNAMA/hiasan

Pinda akta pekerjaan sesuaikan norma baharu - ANULAE

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu menyusun semula undang-undang berkaitan pekerjaan termasuk Akta Kerja 1955 dalam menyesuaikannya dengan norma baharu khususnya dalam aspek bekerja dari rumah (BDR).

Penasihat Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (ANULAE), Datuk Azih Muda, berkata pindaan itu juga perlu membabitkan Perintah-Perintah Am Pegawai Awam kerana penjawat awam juga diyakini turut terkesan akibat BDR.

Beliau berkata, antara aspek penting yang perlu diperincikan adalah soal syif bekerja, elaun lebih masa dan perlindungan pekerja sama ada dalam sektor awam mahupun swasta.

Katanya, antara cadangan lain yang boleh dilihat kerajaan ialah meminda waktu atau syif bekerja mengikut kesesuaian ketika BDR bagi mengurangkan tekanan kepada golongan itu.

"Dalam sektor awam kita ada kira-kira 1.64 juta pekerja dan 13 juta pekerja di sektor swasta, kalaulah kita kata dua pertiganya perlu BDR, maka mereka perlu diikat dengan peraturan dan garis panduan yang jelas.

"Justeru amat sesuai kalau kerajaan melihat semula segala undang-undang berkaitan supaya ia relevan dengan norma baharu yang dijalani kini," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan Kongres Kesatuan Kerja Malaysia (MTUC) yang mahu Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dipinda bagi memastikan klausa perlindungan memenuhi keperluan norma baharu yang sedang dilalui pekerja di negara ini, susulan pandemik COVID-19.

BH sebelum ini turut melaporkan kaedah BDR yang dilaksanakan perkhidmatan awam dan swasta bagi membendung penularan COVID-19 khususnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menambah tekanan pekerja khususnya wanita.

Pada masa sama Azih berkata, kerajaan perlu mengambil tindakan susulan dalam meminda peraturan bagi memastikan pekerja mendapatkan hak ketika BDR kerana berdepan kemurungan atau tekanan perasaan seperti dilaporkan sebelum ini, akibat pelaksanaan kaedah itu.

Beliau berkata, pekerja juga boleh berdepan tekanan ketika BDR apabila tiada rakan sekerja atau ketua yang boleh dirujuk, masalah capaian internet atau gangguan daripada anak.

"Kami mengalu-alukan laporan dibuat BH kerana ia mendedahkan masalah dihadapi pekerja ketika BDR yang boleh membuka mata kerajaan untuk memahami keadaan sebenar, sekali gus membabitkan pemegang taruh jika mahu meminda peraturan.

"BDR ini memang kita tidak perlu hidupkan enjin kenderaan atau bangun awal untuk pergi ke pejabat, namun tahap tekanan itu lebih tinggi," katanya.

Berita Harian X