Sabtu, 15 Mei 2021 | 1:39pm
 Allahyarham Haziq Kamaruddin. - Foto fail NSTP
Allahyarham Haziq Kamaruddin. - Foto fail NSTP

Kematian Haziq akibat komplikasi salur darah jantung tersumbat

KUALA LUMPUR: Proses bedah siasat yang dijalankan terhadap atlet pemanah negara, Haziq Kamaruddin, menunjukkan kematiannya disebabkan komplikasi salur darah jantung tersumbat akibat perubahan arterosklerosis.

Susulan itu, Pakar Perunding Kanan Perubatan Forensik, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Zahari Noor, berkata tiada bukti mengatakan Haziq,27, berkaitan langsung dengan vaksinasi COVID-19.

Bagaimanapun, beliau yang juga Ketua Perkhidmatan Perubatan Forensik KKM, berkata siasatan lanjut berhubung kes itu sedang dijalankan termasuk menunggu beberapa keputusan analisa makmal.

"Kematian Haziq diklasifikasikan sebagai kes mati mengejut oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang dan arahan bedah siasat dikeluarkan untuk menentukan sebab kematian.

"Proses bedah siasat selesai dilakukan selepas calitan ujian COVID-19 yang diambil menunjukkan keputusan negatif bagi virus itu.

"Namun, sehingga kini, tiada bukti menunjukkan kematian ini berkaitan langsung dengan vaksinasi COVID-19," katanya melalui kenyataan, di sini, hari ini.

Haziq yang pernah beraksi di Sukan Olimpik London 2012 dan Olimpik Rio 2016 meninggal dunia secara mengejut pada jam 9.37 pagi semalam, sebelum jenazahnya dibawa ke Hospital Kajang.

Sebelum ini, Haziq yang pernah mengharumkan nama negara apabila meraih pingat emas pada Sukan Kejohanan Memanah Asia 2011 di Tehran mengambil suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Allahyarham menerima suntikan kali pertama pada 13 April lalu sebelum melengkapkan dos kedua pada 4 Mei.

Susulan itu, terdapat pihak mengaitkan kematian atlet kelahiran Johor Bahru itu dengan suntikan vaksinasi COVID-19.

Berita Harian X