Rabu, 12 Mei 2021 | 6:04pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

PKP 3.0: Tiada cadangan umum pakej bantuan baharu

PUTRAJAYA: Kerajaan tiada cadangan buat masa ini untuk melaksanakan pakej rangsangan ekonomi dan bantuan baharu bagi tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 yang bermula hari ini.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata ini berikutan pakej bantuan yang diumum sebelum ini seperti Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) masih berjalan, malah Belanjawan 2021 yang diumum akhir tahun lalu juga menyediakan peruntukan bagi tempoh 12 bulan.

"Apabila kita umumkan Belanjawan 2021, ini untuk 12 bulan (sepanjang 2021). PERMAI untuk enam hingga 12 bulan, PEMERKASA juga sama. Jadi kita lihat semua bantuan ini masih berjalan. GPK 3.0 (Geran Khas Prihatin) contohnya akan dibayar Jun.

"Jadi, apa yang sudah diperuntukkan pada masa ini kita lihat mencukupi. Tetapi jika diperlukan (pakej baharu), sudah pasti kita akan lihat, sebab kerajaan sudah buktikan enam pakej yang diumumkan sebelum ini," katanya pada sidang media berkenaan pelaksanaan PKP 3.0 di kementeriannya, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan sejak tahun lalu juga sudah memanfaatkan lebih 20 juta rakyat dan 2.4 juta perniagaan.

"Setakat ini, lebih 60 peratus inisiatif sudah disalurkan. Daripada jumlah ini, sebahagian besar inisiatifnya adalah bantuan segera dan tunai seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN), GPK, bantuan Subsidi Upah dan pelbagai langkah lain untuk melindungi rakyat dan kelangsungan perniagaan.

"Bantuan bayaran balik pinjaman bersasar sudah memberi manfaat kepada 1.6 juta peminjam termasuk PKS (perusahaan kecil sederhana), suntikan fiskal dari kerajaan juga masih berterusan," katanya.

Beliau berkata, jumlah peruntukan di bawah Kumpulan Wang COVID-19 berjumlah RM68 bilion, dengan RM38 bilion daripadanya sudah dibelanjakan pada tahun lalu dan RM27 bilion diperuntukkan bagi 2021.

"Sehingga April lalu, RM10 bilion sudah disalurkan untuk pelbagai inisiatif dengan baki RM17 bilion bakal dibelanjakan dalam masa terdekat.

"Antara suntikan fiskal yang bakal dibelanjakan adalah Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) fasa kedua. Ini membabitkan RM2.7 bilion dan sudah dikreditkan kepada 8.4 juta penerima minggu lalu. Sementara jaringan prihatin dengan bantuan komunikasi bagi penerima BPR sudah bermula bulan ini," katanya.

Mengenai moratorium pinjaman bank, beliau menjelaskan pertolongan daripada bank masih diberikan sama seperti dilaksanakan ketika PKP 2.0 di mana siapa yang masih terkesan akan dibantu termasuk sektor perniagaan.

Dalam pada itu katanya, secara keseluruhan, semua sektor ekonomi negara sudah menunjukkan tanda pemulihan melalui penguncupan tahunan yang lebih kecil berbanding suku tahunan sebelum ini seperti sektor perlombongan dan pengkuarian.

"Malaysia dapat mencapai pemulihan pantas ini dengan meraih peluang pemulihan ekonomi dunia dan ia hanya dapat dicapai jika syarikat terutama yang terbabit dalam sektor eksport dapat terus dibenar beroperasi," katanya.

Berita Harian X