Selasa, 11 Mei 2021 | 7:17pm
 Dr Adham (kanan) bersama Mohd Shafiq melihat peralatan perubatan yang ada ketika melawat Hospital Cyberjaya, hari ini. - Foto Bernama
Dr Adham (kanan) bersama Mohd Shafiq melihat peralatan perubatan yang ada ketika melawat Hospital Cyberjaya, hari ini. - Foto Bernama

Agih peralatan perubatan Hospital Cyberjaya ke 4 hospital COVID-19

CYBERJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengagihkan secepat mungkin beberapa peralatan di Hospital Cyberjaya yang belum beroperasi ketika ini, kepada empat hospital di sekitar Lembah Klang yang merawat pesakit COVID-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata peralatan perubatan itu membabitkan 42 ventilator, dua x-ray mudah alih, satu peralatan ultrasound dan 20 katil rawatan rapi.

Beliau berkata, peralatan perubatan berkenaan akan diagihkan kepada Hospital Sungai Buloh, Hospital Serdang, Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk digunakan bagi merawat pesakit COVID-19 yang memerlukan bantuan pernafasan terutama pesakit kategori 5.

"Walaupun jumlah peralatan ini tidak banyak, tetapi ia sangat membantu terutama untuk merawat kes kategori 4 dan 5 yang memerlukan katil khusus serta peralatan seperti ventilator," katanya selepas membuat lawatan kerja ke Hospital Cyberjaya di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Mohd Shafiq Abdullah.

Dr Adham berkata, keputusan mengagihkan peralatan itu dibuat selepas pihaknya mendapati sejak kebelakangan ini keperluan untuk merawat pesakit kategori 4 dan 5 di beberapa hospital di Lembah Klang sudah melebihi 80 peratus penggunaan katil dan peralatan.

Beliau berkata, KKM juga merancang membuat pemerolehan baharu untuk mendapatkan peralatan perubatan seperti alat bantuan pernafasan, monitor pesakit dan katil khas untuk pesakit COVID-19 yang mempunyai komobid seperti darah tinggi, kencing manis dan obesiti.

"Kita masih tumpukan usaha membendung penularan COVID-19 di negara kita supaya ia tidak meningkat dan menimbulkan krisis di pihak kesihatan awam serta perubatan iaitu hospital.

"Bagaimanapun, persediaan perlu dibuat dengan teliti dan kecukupan untuk sediakan semua aspek perubatan yang perlu terutama untuk merawat kes kategori 4 dan 5," katanya.

Mengulas Hospital Cyberjaya itu, Dr Adham berkata, ia dibina dengan kos hampir RM500 juta dan dijangka siap pada 15 Jun depan. – BERNAMA

Berita Harian X