X
Selasa, 11 Mei 2021 | 12:35pm
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad membuat agihan bubur lambuk kepada pelajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor. - Foto PTPTN
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad membuat agihan bubur lambuk kepada pelajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor. - Foto PTPTN

Program IMRAN PTPTN ubah perspektif masyarakat

PUTRAJAYA: Program Imarah Ramadan PTPTN (IMRAN) anjuran Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mampu menukar perspektif negatif masyarakat ke atas peranan dan fungsi tabung berkenaan.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr Noraini Ahmad, berkata selain itu program berkenaan juga boleh dijadikan sebagai landasan bagi mempromosikan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) dalam kalangan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan masyarakat setempat.

Menerusi IMRAN, katanya, ia dapat mengeratkan lagi hubungan dan ikatan ukhuwah silaturahim antara kementeriannya, PTPTN, pengurusan IPT, pemimpin pelajar, pelajar dan masyarakat.

"Progam ini diharap dapat mengubah persepsi negatif terhadap peranan dan fungsi PTPTN serta meningkatkan imej positif dalam kalangan masyarakat menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).

"Usaha ini selaras dengan peranan PTPTN sebagai tabung pendidikan utama negara serta satu agensi di bawah KPT yang sentiasa cakna dengan keperluan pelajar IPT.

"Diharapkan program seumpama ini bukan saja dapat memberi manfaat kepada pelajar di IPT tetapi dapat menjalinkan silaturahim dan menyemai kesedaran penabungan serta mendidik literasi kewangan yang baik kepada masyarakat setempat," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Program IMRAN yang julung kali diadakan itu membabitkan aktiviti menyedia dan mengagihkan bubur lambuk secara bergotong-royong dalam kalangan kakitangan PTPTN, IPT, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) dan pelajar.

Sebanyak 12,650 bubur lambuk diagihkan iaitu secara puratanya antara 650 hingga 1,000 bekas bubur lambuk disediakan di setiap lokasi.

Antara IPT yang terbabit dalam program berkenaan ialah Universiti Teknologi Malaysia (UiTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Turut sama ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Teknologi MARA Cawangan Kedah.

Selain itu ialah Politeknik Kota Kinabalu, Politeknik Primer Sultan Salahuddin Abdul Aziz dan Politeknik Kuching.

Berita Harian X