Isnin, 10 Mei 2021 | 12:38pm
Anggota polis dan tentera memantau pematuhan penutupan sebuah pusat beli-belah yang disenaraikan di bawah sistem Pengecaman Lokasi Panas Untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) bagi mengekang penularan wabak COVID-19 ketika tinjauan semalam. BERNAMA
Anggota polis dan tentera memantau pematuhan penutupan sebuah pusat beli-belah yang disenaraikan di bawah sistem Pengecaman Lokasi Panas Untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) bagi mengekang penularan wabak COVID-19 ketika tinjauan semalam. BERNAMA

Polis tingkat operasi di premis berisiko COVID-19

KUALA LUMPUR: Polis akan meningkatkan operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di premis berisiko penularan jangkitan COVID-19, di sekitar ibu negara.

Ia susulan arahan kerajaan supaya mana-mana premis disenaraikan dalam sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) ditutup selama tiga hari berkuat kuasa serta-merta bagi tujuan sanitasi.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo, berkata Pasukan Pematuhan Op COVID-19 termasuk anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan kereta peronda (MPV) berfungsi untuk mengingatkan orang awam mengenai pematuhan SOP PKP.

Katanya, pelaksanaan operasi itu adalah bagi mengekang penularan wabak jangkitan, bukan semata-mata untuk mengenakan tindakan kompaun terhadap premis perniagaan atau individu.

"Polis memahami keterujaan masyarakat untuk membuat persiapan Aidilfitri yang akan tiba tidak lama lagi.

"Kita harap masyarakat akan terus bekerjasama dan mematuhi semua SOP ditetapkan untuk mengelak penularan wabak COVID-19," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Lei Choo menasihatkan warga Kuala Lumpur supaya terus mengamalkan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan mengelak daripada berada di tempat sesak demi kesihatan serta kesejahteraan masyarakat.

Maklumat lanjut, hubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berdekatan.

Berita Harian X