Isnin, 10 Mei 2021 | 10:56am
 Foto ihsan Facebook Noor Hisham Abdullah
Foto ihsan Facebook Noor Hisham Abdullah

Hampir semua negeri catat Rt atasi purata kebangsaan

KUALA LUMPUR: Kadar kebolehjangkitan atau R-naught (Rt) COVID-19 mengikut kes harian di negara ini mencatatkan sedikit penurunan kepada 1.11 semalam, berbanding 1.14 kelmarin.

Bagaimanapun, data dikongsi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook hari ini, menunjukkan hampir semua negeri mencatatkan Rt melebihi purata kebangsaan antara 1.12 hingga 1.27 semalam.

Kedah mencatatkan Rt tertinggi dengan 1.27, disusuli Pahang (1.26), Negeri Sembilan (1.26), Pulau Pinang (1.24), Terengganu (1.22), Melaka (1.19), Selangor (1.18), Johor (1.18), Perak (1.16), Putrajaya (1.16), Kuala Lumpur (1.13) dan Labuan (1.12).

Selain itu, tiga negeri mencatat Rt terendah semalam iaitu Sabah (0.88), Kelantan (0.96) dan Sarawak (0.97).

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes COVID-19, iaitu berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin besar nilai itu, semakin tinggi kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

Data dikongsi Dr Noor Hisham juga menunjukkan trend kes harian ketika ini kekal berada pada situasi membimbangkan, selaras jumlah kes harian yang merekodkan antara 3,000 hingga 4,000 kes sejak hujung bulan lalu.

Trend penularan COVID-19 ketika ini masih melebihi jangkaan Kementerian Kesihatan (KKM), yang mengunjurkan kes harian berisiko mencecah sekitar 5,000 sehari menjelang hujung bulan ini, khususnya jika Rt kebangsaan meningkat kepada 1.2.

Berita Harian X