X
Ahad, 9 Mei 2021 | 3:21pm
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim bersama Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah membuat pemantauan pelaksanaan SOP di Bazar Aidilfitri Kuala Lumpur Jalan Tuanku Abdul Rahman. - Foto NSTP/ Mohd Yusni Ariffin
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim bersama Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah membuat pemantauan pelaksanaan SOP di Bazar Aidilfitri Kuala Lumpur Jalan Tuanku Abdul Rahman. - Foto NSTP/ Mohd Yusni Ariffin

91 Pasukan Pemantauan Pematuhan di KL

KUALA LUMPUR: Polis menubuhkan 91 Pasukan Pemantauan Pematuhan bagi memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di ibu negara, yang dikuat kuasa bermula kelmarin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, berkata pasukan itu membabitkan lima pegawai dan 1,200 anggota yang ditempatkan di lokasi tumpuan untuk memastikan orang ramai mematuhi SOP PKP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, polis turut mendapat bantuan dan kerjasama 61 pasukan membabitkan agensi lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

"Anggota bertugas akan beri peringatan demi peringatan kepada orang ramai supaya sentiasa patuh kepada SOP PKP di tempat awam.

"Kita tidak terus keluarkan kompaun kecuali jika ada individu yang tetap berdegil dan mengambil sikap sambil lewa walaupun sudah dinasihatkan beberapa kali," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau pematuhan SOP PKP di Bazar Aidilfitri Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR), di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah.

Ditanya kekeliruan peniaga berhubung arahan penutupan bazar itu pagi tadi, Azmi berkata, wujud salah faham antara peniaga dan pengelola bazar berkenaan.

"Saya ada ditanya oleh peniaga mengenai perkara itu dan saya sendiri menghubungi MKN untuk mendapatkan penjelasan.

"Peniaga dibenar meneruskan perniagaan hingga jam 10 malam ini. Bazar ini mesti dikosongkan bermula esok bagi tujuan sanitasi.

"Premis tersenarai dalam Pengecaman Lokasi Panas Untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) juga perlu ditutup tiga hari bagi tujuan sama," katanya.

Selain itu, Azmi berkata, pihaknya akan mengekalkan sembilan sekatan jalan raya sedia ada di sekitar Kuala Lumpur.

"Setakat ini, kita tidak berhasrat untuk tambah sekatan itu," katanya.

Sekatan didirikan di Jalan Sentul Pasar, di hadapan Balai Polis Kepong, Lebuhraya Persekutuan hala ke ibu negara, Jalan Klang Lama, Jalan 2/27A Wangsa Melawati dan Jalan 1/91 Taman Shamelin Perkasa.

Sekatan turut didirikan di Lebuhraya Bukit Jalil, Jalan Tol Duta menghala ke Kuala Lumpur dan laluan Tol Sungai Besi menghala ke Kuala Lumpur.

Berita Harian X