Sabtu, 8 Mei 2021 | 10:18pm
Foto fail
Foto fail

PPK gesa kaji semula sistem HIDE

KUALA LUMPUR: Arahan kerajaan supaya mana-mana premis yang disenaraikan dalam sistem Pengecaman Lokasi Panas untuk Libat Urus Dinamik (HIDE) ditutup selama tiga hari berkuat kuasa serta-merta disifatkan sebagai pramatang.

Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK) dalam kenyataan memaklumkan, arahan terbabit boleh mendatangkan persepsi buruk dan kemusnahan dalam pemulihan dan kelangsungan perniagaan.

Katanya, arahan terbabit seharusnya ditangguhkan sehingga data digunakan dalam HIDE dan lokasi panas yang dinyatakan adalah tepat.

"Tidak diragukan bahawa maklumat pertama yang dikeluarkan HIDE adalah terlalu cepat dan tidak adil mencetuskan panik dan kebimbangan.

"Maklumat daripada Kementerian Kesihatan jelas menunjukkan insiden tertinggi akibat COVID-19 berpunca daripada sektor perkilangan (48.06 peratus), komuniti (12.5 peratus), kawasan pembinaan (11.56 peratus), manakala pusat beli belah dan kawasan kedai hanya (4.78 peratus).

"Justeru, penjelasan yang lebih tepat perlu disediakan mengenai insiden penularan antara pusat beli belah dan kawasan membeli-belah," menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu lagi, PPK ingin menegaskan bahawa keselamatan pengunjung menjadi keutamaan malah dengan semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan, menjadikan pusat beli belah sebagai lokasi selamat untuk dikunjungi.

Bagaimanapun, pematuhan SOP yang ketat di pusat beli belah mendatangkan kesan tidak diingini dan secara tidak langsung menghukum pusat beli belah berkenaan.

"Kami ingin menggesa Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi supaya menggantung pengumuman sebarang maklumat yang diperoleh HIDE sehingga dipastikan maklumat terbabit adalah tepat," katanya.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam kenyataan berkata mana-mana premis yang tersenarai dalam sistem HIDE diarah tutup selama tiga hari berkuat kuasa serta-merta.

Berita Harian X