X
Sabtu, 8 Mei 2021 | 4:29pm

Sembilan sekatan jalan raya di ibu negara

KUALA LUMPUR: Polis melakukan sembilan sekatan jalan raya di ibu negara susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula semalam hingga 20 Mei ini, dalam membendung penularan COVID-19.

Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yong Lei Choo, berkata sekatan jalan raya itu dimulakan jam 7 pagi tadi di sekitar ibu kota.

"Sekatan didirikan di Jalan Sentul Pasar, di hadapan Balai Polis Kepong, Lebuhraya Persekutuan hala ke ibu negara, Jalan Klang Lama, Jalan 2/27A Wangsa Melawati dan Jalan 1/91 Taman Shamelin Perkasa.

"Sekatan turut didirikan di Lebuhraya Bukit Jalil, Jalan Tol Duta menghala ke Kuala Lumpur dan laluan Tol Sungai Besi menghala ke Kuala Lumpur," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, penyelarasan tugas sekatan jalan raya diputuskan menerusi Mesyuarat Penyelarasan Kumpulan Kerja Penguatkuasaan PKP 3.0 peringkat Kuala Lumpur dipengerusikan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim, hari ini.

Mesyuarat turut dihadiri wakil Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Angkatan Pertahanan Awam Negeri (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Lei Choo berkata, polis Kuala Lumpur turut meningkatkan pemantauan oleh Pasukan Pematuhan serta rondaan Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB).

"Ia bagi memastikan penguatkuasaan PKP di Kuala Lumpur dilaksanakan secara komprehensif.

"Orang ramai perlu mematuhi segala arahan dan prosedur operasi standard (SOP) PKP serta memberi kerjasama kepada pihak polis untuk bersama-sama mendatarkan lengkuk penularan wabak COVID-19," katanya.

Anggota polis membuat sekatan jalan raya di Lingkaran Syed Putra Highway, Lebuhraya Persekutuan, hari ini. - NSTP/Azhar Ramli
Anggota polis membuat sekatan jalan raya di Lingkaran Syed Putra Highway, Lebuhraya Persekutuan, hari ini. - NSTP/Azhar Ramli
Berita Harian X