Jumaat, 7 Mei 2021 | 3:27pm
 Dr Mohd Azman (tengah) meninjau ruang solat PKRC yang kelapan akan dibuka di Gelanggang Seni Isnin ini bagi menampung pesakit COVID-19, hari ini.- NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR
Dr Mohd Azman (tengah) meninjau ruang solat PKRC yang kelapan akan dibuka di Gelanggang Seni Isnin ini bagi menampung pesakit COVID-19, hari ini.- NSTP/NIK ABDULLAH NIK OMAR

Mahu sambut raya, pesakit enggan dikuarantin di PKRC

KOTA BHARU: Alasan ingin menyambut Aidilfitri di rumah dikesan punca utama individu positif COVID-19 enggan hadir menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC), kata Pengarah PKRC Kelantan, Dr Mohd Azman Yacob.

Beliau berkata, tindakan itu menyusahkan petugas di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) apabila terpaksa turun padang memujuk pesakit terbabit hadir menjalani kuarantin.

Katanya, ia juga menunjukkan tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat khususnya mereka yang positif COVID-19 masih rendah terhadap bahaya wabak itu dengan memberi keutamaan untuk berhari raya.

"Kami dapati ada yang enggan datang ke PKRC dalam tempoh menghampiri Aidilfitri apabila diminta berbuat demikian kerana ingin berhari raya di rumah bersama keluarga.

"Mereka sanggup mengambil risiko walaupun positif COVID-19 dan wakil kami di PKD terpaksa turun padang memujuk mereka yang positif COVID-19 supaya datang menjalani kuarantin segera di PKRC," katanya selepas meninjau tapak PKRC kelapan di Gelanggang Seni yang akan dibuka kira-kira tiga hari lagi.

Dr Mohd Azman berkata, ia suatu cabaran buat petugas kesihatan kerana kesedaran untuk memutuskan rantaian wabak itu tidak menyeluruh malah masyarakat lebih memilih untuk berhari raya daripada menyelamatkan nyawa sendiri termasuk orang sekeliling.

Katanya, setakat ini pesakit berjaya dipujuk untuk hadir ke PKRC, namun mereka yang enggan berbuat demikian akan dikenakan tindakan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Sementara itu, mengulas PKRC khas kelapan itu, Dr Mohd Azman berkata, pusat kuarantin itu akan dilengkapi 30 katil klinikal dan kelengkapan perawatan khas serta bekalan oksigen mudah alih untuk pesakit warga emas, manakala 50 katil dua tingkat lagi bagi 100 pesakit COVID-19 untuk pesakit wanita.

"PKRC ini mempunyai 50 katil dua tingkat untuk pesakit wanita dan 30 katil klinikal (campur lelaki dan wanita) serta menjadi 'bridging' antara pesakit dengan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

"Ia akan menempatkan pesakit muda dan berusia yang memerlukan rawatan khas, namun jika pesakit memerlukan rawatan lanjut, mereka akan dipindahkan segera ke HRPZ II yang terletak hanya 1.5 kilometer saja," katanya.

Dr Mohd Azman berkata, PKRC berkenaan dilengkapi semua peralatan itu bagi memudahkan urusan petugas mengendalikan kes kritikal terutama membabitkan pesakit berusia 60 hingga 70 tahun.

Berita Harian X