Selasa, 4 Mei 2021 | 7:50pm
Shamsul Nizam (tengah) menunjukkan lokasi pemindahan minyak masak bersubsidi ke dalam tangki pada sesi sidang media di sebuah kilang perindustrian di Jalan Sagai 6, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor. FOTO NSTP/NURUL AMANINA SUHAINI
Shamsul Nizam (tengah) menunjukkan lokasi pemindahan minyak masak bersubsidi ke dalam tangki pada sesi sidang media di sebuah kilang perindustrian di Jalan Sagai 6, Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, Johor. FOTO NSTP/NURUL AMANINA SUHAINI

KPDNHEP tumpas sindiket seleweng minyak masak subsidi

PASIR GUDANG: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) menumpaskan sindiket penyelewengan minyak masak bersubsidi membabitkan nilai rampasan dianggarkan RM15 juta, dalam serbuan di sebuah kilang perindustrian di Jalan Sagai 6, Taman Pasir Putih, hari ini.

Timbalan Pengarah Penguat Kuasa (Operasi) KPDNHEP Putrajaya, Shamsul Nizam Khalil, berkata berdasarkan operasi itu, pihaknya percaya melumpuhkan sindiket disyaki menyebabkan kekurangan bekalan minyak masak di pasaran.

Katanya, operasi pada jam 2 pagi itu dibantu KPDNHEP Johor Bahru yang turut menahan 15 lelaki termasuk lapan warga Nepal dan Bangladesh berusia 25 hingga 45 tahun.

"Hasil siasatan awal dan risikan selama sebulan, minyak masak bersubsidi diperoleh daripada beberapa kilang pembungkus secara sah di sekitar Lembah Klang, Perak dan Kedah yang memiliki lesen borong sah, disyaki dibawa ke sebuah kawasan perindustrian di Pasir Gudang, Johor.

"Sindiket ini didapati menjalankan kegiatan pemindahan minyak masak bersubsidi kapasiti satu kilogram (kg) ke dalam tangki dan memasukkan ke dalam mesin yang kemudiannya disalurkan ke dalam tangki berkapasiti 1,000 liter setiap satu.

"Anggaran jumlah paket diselewengkan adalah di antara 500,000 sehingga satu 1 juta paket sebulan sepanjang tempoh enam bulan kilang ini beroperasi. Harga subsidi RM2.50, mereka mungkin dapat lebih murah sebab mereka pemborong.

"KPDNHEP mengesyaki bekalan minyak masak ini bagi tujuan eksport. Ini kes pertama dan terbesar tahun ini dibongkar," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, kilang terbabit mengumpulkan 15 jenama minyak masak daripada beberapa syarikat untuk menjalankan sindiket mereka.

"KPDNHEP juga mengenal pasti beberapa syarikat digunakan untuk menjalankan aktiviti membeli minyak masak dengan menggunakan lesen borong sah.

"Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama, manakala kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

"Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda dikenakan tidak melebihi RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya.

"KPDNHEP juga akan membuka satu kertas siasatan di bawah Akta Pengubahan Wang Haram (AMLA) 2001, bagi melihat daripada segi berlakunya jenayah kewangan, selain syarikat pembungkusan yang terbabit," katanya.

Berita Harian X