Ahad, 2 Mei 2021 | 7:42am
 Sebahagian ruang pemerhatian Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh dijadikan sebagai ICU COVID-19. - Foto ihsan Facebook Noor Hisham Abdullah
Sebahagian ruang pemerhatian Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh dijadikan sebagai ICU COVID-19. - Foto ihsan Facebook Noor Hisham Abdullah

Kes meningkat, wad biasa jadi katil rawatan kritikal

KUALA LUMPUR: Sebanyak 80 katil rawatan kritikal diwujudkan secara 'repurposed' di hospital sekitar Lembah Klang bagi memenuhi keperluan peningkatan jumlah pesakit COVID-19 yang kritikal.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata jumlah katil itu akan ditambah mengikut keperluan di wad biasa bersesuaian yang ditukar fungsi kepada katil kritikal.

"Terdapat peningkatan dalam jumlah pesakit COVID-19 yang kritikal tetapi diberi bantuan pernafasan di wad biasa akibat kekosongan katil ICU (Unit Rawatan Rapi) yang terhad," katanya menerusi Facebooknya hari ini.

Petugas Jabatan Perubatan Hospital Sungai Buloh membawa alat bantuan pernafasan untuk digunakan di wad biasa. - Foto ihsan Facebook Noor Hisham Abdullah
Petugas Jabatan Perubatan Hospital Sungai Buloh membawa alat bantuan pernafasan untuk digunakan di wad biasa. - Foto ihsan Facebook Noor Hisham Abdullah

Sementara itu menerusi hantaran berasingan di Facebooknya, Dr Noor Hisham berkata sebahagian ruang pemerhatian Jabatan Kecemasan Hospital Sungai Buloh dijadikan sebagai ICU COVID-19.

Beliau berkata, pesakit di hospital berkenaan kini sedang menanti untuk dipindahkan ke hospital lain di Lembah Klang.

"Pengurusan ketersediaan katil rawatan kritikal di hospital COVID-19 Lembah Klang dilakukan secara bersepadu di bawah seliaan Pusat Kawalan Bersepadu COVID-19 atau Unified Command Centre (UCC) Wilayah Tengah.

"Kaedah pemantauan dan pengurusan yang lebih efisien ini membolehkan pesakit di hospital Lembah Klang dapat dipindahkan dari satu hospital ke hospital lain yang mempunyai kekosongan katil rawatan kritikal.

"Terdapat tujuh hospital yang dikhususkan untuk rawatan pesakit COVID-19 termasuk sebuah hospital universiti di Lembah Klang yang merangkumi Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya.

Media semalam melaporkan kenyataan Dr Noor Hisham bahawa keupayaan kapasiti kesihatan negara akan berada pada tahap kritikal, sekiranya aliran kes COVID-19, terus meningkat.

Dr Noor Hisham dilaporkan berkata ketika ini Kementerian Kesihatan (KKM) mendapati peningkatan kes dan kadar penggunaan kapasiti kesihatan di negeri sekitar Lembah Klang amat membimbangkan.

Beliau berkata jika trend peningkatan kes COVID-19 berterusan, maka kapasiti kesihatan akan berada pada tahap kritikal dan akan memberikan impak negatif kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara keseluruhannya.

Sehubungan itu beliau meminta masyarakat berperanan untuk bersama-sama membantu KKM dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

Malaysia merekodkan 2,881 jangkitan baharu COVID-19 semalam dengan 15 kes kematian.

Berita Harian X