Sabtu, 1 Mei 2021 | 10:25am
Kadar kebolehjangkitan COVID-19 kebangsaan ialah 1.14. - Foto FB Noor Hisham Abdullah
Kadar kebolehjangkitan COVID-19 kebangsaan ialah 1.14. - Foto FB Noor Hisham Abdullah

Kebolehjangkitan COVID-19 8 negeri masih tinggi

KUALA LUMPUR: Sebanyak lapan negeri mencatatkan kadar kebolehjangkitan (RO) COVID-19 mengikut kes harian, melebihi purata kebangsaan semalam.

Data dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah di Facebook semalam, menunjukkan RO kebangsaan pada 1.14, iaitu peningkatan berbanding 1.12 kelmarin.

Bagaimanapun, data itu menunjukkan bilangan negeri yang melebihi purata kebangsaan itu meningkat kepada lapan berbanding hanya tujuh negeri kelmarin.

Kedah mencatatkan kadar RO tertinggi semalam dengan 1.28, disusuli Kelantan (1.23), Negeri Sembilan (1.23), Selangor (1.20), Perlis (1.19), Kuala Lumpur (1.16), Perak (1.15) dan Pahang (1.15).

Melaka pula mencatat kadar sama dengan purata kebangsaan iaitu 1.14, manakala dua negeri dan wilayah merekodkan RO terendah semalam iaitu Labuan (0.93) dan Sabah (0.94).

 Graf menunjukkan jumlah kes COVID-19 dan Rt bagi tempoh sehingga semalam. - Foto fb Dr Noor Hisham
Graf menunjukkan jumlah kes COVID-19 dan Rt bagi tempoh sehingga semalam. - Foto fb Dr Noor Hisham

Nilai RO merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes COVID-19, iaitu berapa ramai boleh dijangkiti oleh satu kes positif. Semakin besar nilai itu, semakin tinggi kemungkinan jangkitan bagi setiap kes positif.

Sebagai contoh, jika nilai RO adalah 1.5, ia bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.

Selain itu, data dikongsi Dr Noor Hisham menunjukkan trend kes harian ketika ini kekal berada pada situasi membimbangkan, selaras jumlah kes harian yang mencecah melebihi 3,000 sejak tiga hari berturut-turut.

Data itu menunjukkan trend peningkatan penularan COVID-19 ketika ini berlaku lebih pantas berbanding jangkaan Kementerian Kesihatan (KKM), yang mengunjurkan kes harian berisiko mencecah sekitar 5,000 sehari menjelang hujung bulan depan jika R0 meningkat kepada 1.2.

Jumlah kes harian kembali melebihi 2,000 pada 15 April lalu, sebelum melonjak mencecah lebih 3,000 pada Rabu lalu dengan 3,142 kes, sebelum mencatat 3,788 kes semalam.

Berita Harian X