Khamis, 29 April 2021 | 10:31am

Pelajar IPT dibenar balik rumah sempena Aidilfitri

KUALA LUMPUR: Lebih 100,000 pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) yang kini berada di kampus dibenarkan pulang ke rumah masing-masing bersempena cuti Hari Raya Aidilfitri kecuali bagi Sarawak.

Menurut kenyataan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) hari ini, perkara itu diputuskan pada mesyuarat sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam.

Pergerakan pelajar di setiap IPT akan dilaksanakan secara berfasa bagi memastikan pergerakan terkawal, dengan tarikh pergerakan pulang ke rumah masing-masing ditetapkan mulai 7 hingga 12 Mei manakala tarikh kembali ke kampus bermula 15 hingga 20 Mei.

"Pergerakan pelajar sempena cuti perayaan Aidilfitri ini dianggarkan hanya membabitkan 103,994 pelajar yang kini berada di kampus daripada jumlah keseluruhan 1.3 juta pelajar. Pelajar berkenaan terdiri daripada enam kategori pelajar dibenarkan untuk menjalani sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di kampus sebelum ini.

Bagi memastikan pergerakan pelajar adalah terkawal, KPT menetapkan beberapa mekanisme kawalan di mana pergerakan pelajar di setiap IPT dilaksanakan secara berfasa.

"Pihak IPT akan menyediakan surat pelepasan perjalanan rentas negeri atau daerah dan menyelaras tarikh pergerakan pulang ke rumah serta kembali ke kampus bagi setiap pelajar.

"Pergerakan pulang pelajar akan menggunakan tiga kaedah iaitu menggunakan kenderaan sendiri, dijemput oleh ibu bapa atau penjaga atau menggunakan bas yang diselaraskan oleh IPT. Pergerakan melalui kenderaan awam tidak dibenarkan kecuali perkhidmatan penerbangan," kata kenyataan itu.

Pelajar institusi pendidikan tinggi turut diberi pilihan sama ada pulang ke kediaman masing-masing atau kekal berada di kampus sempena cuti Hari Raya. - Foto hiasan
Pelajar institusi pendidikan tinggi turut diberi pilihan sama ada pulang ke kediaman masing-masing atau kekal berada di kampus sempena cuti Hari Raya. - Foto hiasan

"Pelajar dan ibu bapa boleh merujuk kepada prosedur operasi standard (SOP) pergerakan pelajar IPT pulang sempena cuti perayaan Aidilfitri dan dokumen soalan lazim disediakan melalui portal rasmi KPT di https://www.mohe.gov.my/," katanya.

Selain itu, pertanyaan lanjut boleh dibuat dengan menghubungi pegawai penyelaras di IPT masing-masing atau Bilik Gerakan KPT di talian 03-8870 6777/6949/6623/6628.

Berita Harian X