Selasa, 27 April 2021 | 6:43pm
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz. - Foto BERNAMA
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz. - Foto BERNAMA

Kerajaan komited untuk tambah semula dana KWAN

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk menambah semula dana Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) apabila krisis disebabkan COVID-19 berakhir dan kewangan kerajaan kembali kukuh.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata penggunaan dana KWAN dalam bentuk geran juga penting untuk memastikan defisit fiskal kekal di bawah sasaran 6.0 peratus pada akhir 2021. ⠀

Katanya, sekiranya kos vaksin sebanyak RM5 bilion tidak digunakan daripada dana KWAN, keperluan meminjam kerajaan adalah jauh lebih tinggi dan sasaran defisit mungkin akan meningkat.⠀⠀

"KWAN di kawal selia oleh lima anggota lembaga pemegang amanah yang membuat semua keputusan dasar sebelum dikemukakan kepada kerajaan.

"Lembaga pemegang amanah ini merangkumi wakil kerajaan dan swasta/professional. KWAN juga diaudit setiap tahun oleh Jabatan Audit Negara.

"Oleh itu, elemen semak dan imbang kekal terjamin walaupun terdapat pindaan spesifik dan terhad ke atas penggunaan dana KWAN," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut Tengku Zafrul berkata, sehingga 31 Disember 2020, aset bersih KWAN adalah berjumlah RM19.5 bilion, merangkumi sumbangan PETRONAS (RM10.4 bilion) dan pulangan pelaburan terkumpul (RM9.1 bilion).⠀

Katanya, Seksyen 6, Akta 339 membenarkan dana KWAN digunakan selepas tamatnya tempoh 10 tahun dari tahun pertama akta berkuat kuasa (1988) bagi membiayai projek pembangunan; dan pinjaman mudah kepada kerajaan Persekutuan atau kerajaan negeri.⠀⠀

"Tujuan KWAN ditubuhkan adalah untuk memastikan penggunaan optimum hasil sumber asli negara demi manfaat negara dan generasi akan datang. Kitalah masa depan yang dimaksudkan ketika dana ini ditubuhkan.

⠀⠀

"Pindaan undang-undang ke atas Akta KWAN 1988 melalui Ordinan Darurat baru-baru ini membolehkan dana KWAN digunakan hanya untuk pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan berhubung dengan vaksin bagi apa-apa wabak penyakit berjangkit. ⠀⠀

"Anggaran RM5 bilion bagi perolehan vaksin hanyalah menggunakan jumlah pulangan pelaburan yang dijana tetapi jumlah pokok RM10.4 bilion masih kekal dan tidak digunakan," katanya. ⠀⠀

Tambahnya, dana KWAN perlu digunakan kerana krisis yang dihadapi kini bukanlah krisis ekonomi seperti 1998 dan 2008, sebaliknya ia adalah krisis kesihatan dan ekonomi secara serentak. ⠀

Katanya, vaksinasi adalah kunci utama kepada pemulihan ekonomi dan tiada lagi langkah terbaik untuk melindungi rakyat dengan memastikan imunisasi kelompok melalui vaksinasi.⠀⠀

"Objektif KWAN apabila ditubuhkan 33 tahun dahulu adalah untuk melindungi 'generasi masa depan'. Siapa lagi 'generasi masa depan' itu jika bukan kita, di saat mengharungi cabaran COVID-19 yang mungkin krisis paling getir dan serius di dalam sejarah negara kita? Program vaksinasi yang berkesan perlu diutamakan bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan negara.⠀⠀

"Jika tidak digunakan sekarang, bilakah masa yang lebih sesuai untuk menggunakan dana KWAN? Tambahan pula, dana KWAN pernah digunakan sebelum ini pada 1998 untuk pembangunan Projek Paya lndah Wetland.

"Jika ia boleh digunakan untuk projek pembangunan Paya Indah Wetlands, bukankah keperluan untuk menggunakannya bagi program vaksinasi yang dapat menjamin masa depan generasi akan datang lebih mendesak?" katanya.

Berita Harian X