Isnin, 26 April 2021 | 3:05pm
Vaksin COVID-19 Covishield, keluaran AstraZeneca-Oxford. Foto AFP
Vaksin COVID-19 Covishield, keluaran AstraZeneca-Oxford. Foto AFP

Kerajaan ambil RM5 bilion daripada RM19.5 bilion KWAN

PUTRAJAYA: Kerajaan hanya menggunakan RM5 bilion daripada Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang berjumlah RM19.5 bilion, bagi mempercepat perolehan vaksin.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata setakat 31 Disember 2020, dana KWAN merangkumi sumbangan PETRONAS berjumlah RM10.4 bilion dan pulangan pelaburan terkumpul RM9.1 bilion.

Beliau berkata, dana RM5 bilion yang diambil daripada KWAN itu daripada bahagian pulangan pelaburan terkumpul dan bukan bahagian prinsipal yang disumbangkan PETRONAS.

"Dana KWAN boleh diguna untuk perbelanjaan pembangunan selepas 10 tahun dari tarikh penubuhan 1988. Dan, ia juga boleh digunakan bagi tujuan membiayai pinjaman mudah kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

"Pindaan Akta KWAN dibuat melalui Ordinan Darurat bagi pemerolehan vaksin COVID-19," katanya pada sidang media Kementerian Kewangan mengenai kedudukan ekonomi dan kewangan negara di sini, hari ini.

Pada 1998, Tengku Zafrul berkata, selaras dengan perenggan (a) seksyen 6, sejumlah RM42 juta digunakan untuk Projek Paya lndah Wetland.

Katanya, pindaan undang-undang melalui Ordinan Darurat membolehkan dana KWAN digunakan untuk pemerolehan vaksin dan apa-apa perbelanjaan yang dilakukan berhubung dengan vaksin, bagi apa-apa wabak penyakit berjangkit saja.

"Penggunaannya dihadkan hanya untuk memperoleh vaksin, dan bukan untuk tujuan lain yang tidak dinyatakan di bawah undang-undang. Anggaran RM5 bilion bagi perolehan vaksin hanya menggunakan jumlah pelaburan yang dijana tetapi jumlah pokok sumbangan RM10.4 bilion masih kekal dan tidak digunakan," katanya.

Tengku Zafrul berkata, krisis yang dihadapi ketika ini bukan krisis ekonomi seperti 1998 dan 2008, sebaliknya krisis kesihatan dan ekonomi secara serentak.

Beliau berkata, kerajaan melaksanakan pelbagai fasa perintah kawalan pergerakan yang memberi kesan kepada ekonomi, ekosistem perniagaan dan kesejahteraan rakyat.

Bagi melindungi rakyat dan perniagaan, katanya, kerajaan mengumumkan pakej rangsangan dan bantuan berjumlah RM340 bilion dengan suntikan fiskal RM65 bilion.

Tengku Zafrul berkata, vaksinasi kunci utama kepada pemulihan ekonomi dan objektif penubuhan KWAN untuk melindungi generasi masa depan dan tiada lagi langkah terbaik untuk melindungi rakyat dengan memastikan imunisasi kelompok melalui vaksinasi.

"Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita perlu mengimbangi pemulihan jangka pendek dengan kelestarian jangka panjang. Kesejahteraan rakyat tumpuan utama kerajaan, namun kerajaan mempunyai ruang fiskal yang terhad.

Program Imunisasi COVID-19 membantu pemulihan ekonomi, selepas kerajaan menanggung hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan PH. - Foto BERNAMA
Program Imunisasi COVID-19 membantu pemulihan ekonomi, selepas kerajaan menanggung hutang yang ditinggalkan oleh kerajaan PH. - Foto BERNAMA

"Ramai ahli politik, yang sebelum ini membentuk kerajaan sekarang bertanya mengapa kerajaan Perikatan Nasional (PN) terpaksa menggunakan KWAN dan tidak meminjam lebih banyak.

"Kita telah mewarisi lebih RM1 trilion pinjaman dan liabiliti kerajaan, termasuk menjamin pinjaman tanpa sumber pembayaran balik seperti hutang 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan inisiatif pembiayaan swasta (PFI) untuk perbelanjaan di luar lembaran imbangan. Sebagai contoh, obligasi 1MDB sebanyak RM40 bilion cukup untuk membayar kos vaksin lapan kali ganda.

"Jadi, apakah pilihan terbaik yang wajar diambil oleh Kerajaan PN yang mewarisi obligasi untuk membayar balik liabiliti seperti PFI secara di luar lembaran imbangan, 1MDB, SRC International dan sebagainya yang dianggarkan melebihi RM20 bilion setahun untuk lima tahun akan datang?

"Jumlah komitmen ini sepatutnya boleh digunakan untuk membiayai keperluan rakyat pada masa ini, seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), program subsidi upah, geran khas Prihatin dan terutamanya kos pembiayaan vaksin," katanya.

Berita Harian X