Jumaat, 23 April 2021 | 1:05pm
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan

'Perlu ada semak imbang sebelum guna dana KWAN'

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan menggunakan peraturan darurat untuk menggunakan Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) bagi perolehan vaksin seharusnya dibincang dan dipertimbangkan secara menyeluruh oleh semua pihak.

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata setakat ini tidak ada perbincangan antara anggota pentadbiran kerajaan dengan wakil rakyat untuk memastikan kewujudan proses semak dan imbang berhubung perkara terbabit.

"Oleh kerana perkara ini adalah berkepentingan nasional, maka seharusnya ia dibincang dan dipertimbangkan secara menyeluruh oleh semua pihak dengan disertakan ketelusan yang tinggi.

"Bahkan, tidak ada ruang untuk jawatankuasa pilihan Parlimen memastikan ketelusan serta kebertanggungjawaban memandangkan Parlimen masih digantung, impak daripada perisytiharan darurat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad berkata, KWAN yang ditubuhkan kira-kira 30 tahun lalu adalah untuk kepentingan generasi masa depan memandangkan sumber semula jadi negara semakin menyusut.

Justeru, katanya, tindakan kerajaan menggunakan KWAN sangat menggusarkan dan memperlihatkan kerentanan dalam mengurus krisis COVID-19.

"Dalam Belanjawan 2021, RM3 bilion diperuntukkan untuk vaksinasi 80 peratus rakyat Malaysia. Namun, tidak ada penjelasan dan pendedahan yang terperinci bagaimana anggaran itu dibelanja atau diuruskan.

"Sebulan yang lalu, peruntukan untuk program imunisasi ini ditambah menjadi RM5 bilion. Tujuannya untuk mempercepatkan sasaran vaksin 80 peratus penduduk menjelang Disember dan bukannya Februari 2022 seperti yang diumumkan Perdana Menteri sebelum ini.

"Jadi mengapa secara tiba-tiba kerajaan memerlukan dana daripada KWAN?" katanya.

Beliau berkata, kerajaan sebenarnya masih boleh meneroka pilihan lain sebelum mengambil keputusan menggunakan dana KWAN.

"Kita masih boleh mempertimbangkan untuk menawarkan vaksinasi percuma khusus kepada mereka yang tidak mampu. Bagi yang berkemampuan pula, mereka boleh membayar mengikut kadar harga pasaran.

"Mungkin situasi ini bukan pilihan yang terbaik, tetapi ia pasti lebih baik daripada memperjudikan masa depan generasi akan datang," katanya.

Media sebelum ini melaporkan kerajaan mewartakan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021 yang membolehkan kerajaan menggunakan dana kumpulan wang itu untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan program imunisasi kebangsaan.

Mengikut Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988, dana itu dibayar melalui Kumpulan Wang Disatukan dan PETRONAS.

Menurut seksyen 5 (c) akta itu, sumbangan boleh dibuat oleh mana-mana negeri di Malaysia yang mendapat royalti daripada petroleum dan sumber alam lain yang akan habis.

Sumbangan ke dalam KWAN juga boleh datang dari mana-mana orang atau pihak berkuasa yang perniagaannya merangkumi penyelidikan atau pengembangan sumber alam yang akan habis.

Berita Harian X