Jumaat, 23 April 2021 | 11:51am
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Nanas , Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aizuddin Saad
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Nanas , Kuala Lumpur. - Foto NSTP/Aizuddin Saad

SMK Convent Bukit Nanas belum diwartakan tapak warisan

KUALA LUMPUR: Usaha untuk mewartakan Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Convent Bukit Nanas, di sini sebelum ini sebagai tapak warisan terhalang selepas mendapat bantahan daripada pihak pemegang amanah pada 2010.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, menjelaskan sekolah itu ketika ini belum diwartakan sebagai tapak warisan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) oleh Jabatan Warisan Negara (JWN).

Beliau berkata, proses pengumpulan maklumat dan dokumen berkaitan bagi tujuan pewartaan di bawah Akta 645 dimulakan JWN pada Mei 2008 berlandaskan justifikasi sejarah, ciri-ciri seni bina bangunan dan signifikan warisan yang jelas pada sekolah itu.

Katanya, pada Ogos 2008, JWN mengangkat permohonan keizinan Pihak Berkuasa Negeri (PBN) ketika itu Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar selaras seksyen 30, Akta 645 untuk mewartakan bangunan sekolah dan disusuli permohonan kali ketiga pada Februari 2010.

"Persetujuan PBN diperoleh pada September 2010 dan JWN sudah meneruskan memulakan proses penetapan sekolah itu.

"Namun begitu, semasa tempoh Siaran Notis Niat di Akhbar Tempatan, pihak pemegang amanah ketika itu telah menghantar Notis Bantahan melalui firma guaman kepada Pesuruhjaya Warisan pada 12 Julai 2010.

"Oleh kerana Notis Bantahan sudah diterima di bawah seksyen 28, maka sesi pendengaran selaras seksyen 29 Akta 645 diadakan pada 8 April 2011 untuk Pesuruhjaya Warisan mendengar penjelasan bantahan daripada pemegang amanah.

"Pada 21 Julai 2011, setelah memperhalusi dan mempertimbangkannya maka Pesuruhjaya Warisan memutuskan untuk tidak meneruskan penetapan sekolah itu sebagai tapak warisan di bawah Akta 645," katanya.

Nancy berkata, bagaimanapun atas justifikasi dan signifikasi warisan, kementerian mengalu-alukan pemegang amanah untuk mempertimbang dan mencalonkan sekolah itu diwartakan sebagai tapak warisan di bawah Akta 645 bagi tujuan memulihara, memelihara dan melindungi warisannya.

"Untuk makluman, penetapan sebagai tapak warisan di bawah Akta 645 tidak akan menjejaskan pemilikan, jagaan dan pentadbiran tapak.

"Pewartaan tidak akan mengambil sebarang pemilikan tanah bahkan ianya kekal di bawah pemilik rasmi sebagaimana yang tercatat di dalam Carian Rasmi," katanya.

Beliau berkata, semua pihak termasuk PBN, pihak berkuasa tempatan (PBT), pemilik, pemaju, badan bukan kerajaan dan pemain industri warisan digesa berganding bahu bagi memulihara, memelihara dan melindungi warisan negara sama ada yang sudah diwartakan mahupun belum.

"Kekayaan warisan dan kebudayaan negara ini akan menjadi bukti sejarah ketamadunan negara, daya tarikan pelancong domestik dan luar negara sekaligus menyumbang kepada peningkatan ekonomi rakyat, negeri dan negara," katanya.

Berdasarkan maklumat sejarah, SMK Convent Bukit Nanas dirasmikan pembukaannya oleh E L Brockman, iaitu Ketua Setiausaha bagi Persekutuan Tanah Melayu pada 1911.

Bangunannya berbentuk English Gothic itu dibina di bawah pengawasan arkitek kerajaan, iaitu Huxley dan Kesteven. SMK Convent Bukit Nanas hanya menerima pelajar perempuan sahaja.

Sejarah juga mencatatkan bahawa ketika pendudukan Jepun, SMK Convent Bukit Nanas dijadikan sebagai tempat perlindungan sementara dan berjaya menyelamatkan ratusan nyawa pelarian awam ketika itu.

Sehingga kini, SMK Convent Bukit Nanas sudah melahirkan ramai tokoh terkemuka negara antaranya Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin; Gabenor Bank Negara, Datuk Noor Shamsiah Mohd Yunus; bekas Menteri Perdagangan dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz dan ramai lagi.

Semalam, Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh pegangan pajakan tapak SMK Convent Bukit Nanas bagi tempoh 60 tahun.

Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, tempoh pegangan pajakan sekolah itu akan tamat pada 6 September ini.

Berita Harian X