Khamis, 22 April 2021 | 3:15pm

`Bukan main cucuk je...'

PASIR PUTEH: "Jangan takut untuk ambil vaksin. Sebelum cucuk (diberi suntikan), orang kesihatan beri maklumat jelas dan periksa dahulu kesihatan, bukan main cucuk je".

Itu ungkapan kebanyakan daripada 120 warga emas dan pesakit berisiko yang mendapatkan suntikan vaksin kali pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Pejabat Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Tok Bali, di sini, hari ini.

Ini termasuk pasangan suami isteri, Siti Isah Abdullah dan suami, Abdul Ghani Jusoh, kedua-dua mereka berusia 71 tahun yang juga antara penerima vaksin berusia di PPV itu.

Siti Isah berkata, dia dan suami secara sukarela mendaftar untuk divaksin melalui aplikasi MySejahtera selepas kerajaan mengumumkan pemberian vaksin secara percuma kepada rakyat bagi mencegah penyakit COVID-19.

"Saya tidak percaya dengan semua (dakwaan) buruk pasal kesan vaksin, sebab kita dah biasa dapatkan suntikan vaksin sebagai langkah pencegahan kawalan penyakit macam nak pergi buat umrah atau haji. Kita suntik vaksin untuk cegah wabak jangkitan Sindrom Pernafasan Virus Korona Asia Barat (MERS-CoV).

"Lagipun kita ambil vaksin untuk langkah keselamatan. Kena fikir positif, bukan mereka (anggota kesihatan) main cucuk je," katanya.

Dia berkata, mereka menerima suntikan kerana memikirkan risiko sebagai warga emas dan mempunyai penyakit seperti darah tinggi dan kencing manis selain suaminya turut menghadapi masalah kesihatan seperti pernah diserang angin ahmar dan pendarahan dalam perut.

Bagi Ishak Mat Yunos, 72, dia yang berkerusi roda akibat angin ahmar sejak enam tahun lalu juga sanggup menerima suntikan vaksin bagi menjaga keselamatan ahli keluarga dan orang awam.

Katanya, walaupun lumpuh sebelah badan kiri yang mengehadkan pergerakannya, ia tidak menghalang niatnya untuk mendapatkan suntikan itu.

"Saya sendiri yang nak, tiada orang paksa saya, sebab kita tahu kalau kita tak saling bekerjasama, penyakit ini takkan hilang," katanya yang mempunyai lima anak dan sembilan cucu.

Bagi Siti Eshah Muhammad, 74, dia menasihatkan warga emas lain dan orang ramai agar tidak takut mendapatkan vaksin kerana mahu menjaga diri yang mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi,jantung dan buah pinggang sejak 30 tahun lalu.

Katanya, keadaan usia dan mempunyai empat penyakit berbahaya itu menjadikannya golongan paling berisiko dijangkiti COVID-19.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Pasir Puteh, Mohd Kamarulzaman Ab Wahab, berkata setakat ini seramai 18,000 penduduk daerah itu termasuk warga emas sudah mendaftar untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Katanya, angka itu baru mewakili 20 peratus daripada jumlah suntikan yang sepatutnya mencecah 90,000 orang.

"Kita sekarang perbanyakkan program turun padang, ke rumah penduduk bagi mendaftarkan mereka sebab sebelum ini kebanyakan pendaftaran dibuat melalui aplikasi MySejahtera, dalam talian. Jadi, ramai warga emas atau penduduk kampung yang tidak tahu cara daftar," katanya.

Pasangan suami isteri, Siti Isah Abdullah dan suami, Abdul Ghani Jusoh, memegang kad ‘Lindungi Diri, Lindungi Semua’ selepas menerima vaksin di PPV, Dewan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan di Tok Bali. NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Pasangan suami isteri, Siti Isah Abdullah dan suami, Abdul Ghani Jusoh, memegang kad ‘Lindungi Diri, Lindungi Semua’ selepas menerima vaksin di PPV, Dewan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan di Tok Bali. NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Berita Harian X