Khamis, 22 April 2021 | 8:15am
MOHD YASIN menggunakan geran PEMERKASA membeli pelbagai perkakas untuk chaletnya di Kampung Kubang Jela, Kuala Terengganu. NSTP/Baharom Bakar
MOHD YASIN menggunakan geran PEMERKASA membeli pelbagai perkakas untuk chaletnya di Kampung Kubang Jela, Kuala Terengganu. NSTP/Baharom Bakar

Insentif penyuntik semangat pengusaha terjejas

KUALA LUMPUR: Bantuan kewangan dan insentif bagi sektor pelancongan dalam Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi (PEMERKASA) diakui menjadi penyuntik semangat bagi pengusahanya yang terjejas teruk kerana COVID-19 .

Pengarah Urusan Zam Holiday Sdn Bhd, Nazim Nasay, berkata bantuan RM3,000 yang diterima menjadi suntikan semangat kepadanya untuk terus berjuang.

Beliau yang menjalankan perniagaan jualan tiket, pakej pelancongan, pengangkutan dan umrah, berkata banyak pengalaman getir ditempuhi, termasuk terpaksa memberhentikan beberapa kakitangannya, berdepan keadaan permohonan pembiayaan ditolak oleh bank dan sebagainya.

"Ketika ini saya masih mendapat manfaat daripada Program Subsidi Upah (PSU) 3.0 yang banyak membantu syarikat membayar gaji kepada kakitangan selain masih terima faedah moratorium pembiayaan kenderaan syarikat hingga Jun depan.

"Di samping itu, inisiatif 'gelembung hijau' membantu kami menggerakkan pelancongan dalam negara dengan operasi bas persiaran, program rangkaian perniagaan ke negeri lain, 'familiarization trip' cukup membantu sektor pelancongan tempatan," katanya.

Pengurus Besar Rompin Beach Resort (RBR), Mohammad Daniel Abdullah, berkata hotelnya menikmati faedah PSU dari mula hingga sekarang di samping mendapat beberapa manfaat lain dalam PEMERKASA.

"Antaranya hotel saya menikmati 10 peratus diskaun khas bil elektrik hingga Jun ini, selain faedah pengecualian cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan ke atas penginapan hingga hujung tahun, yang memberi kelegaan kepada kami.

Pemilik chalet Cabin Highway, Kuala Terengganu, Mohd Yasin Embong, 48, berkata beliau menerima bantuan RM3,000 daripada kerajaan.

Beliau berkata bantuan PEMERKASA itu digunakan untuk membeli cadar, selimut, tuala sebagai tambahan selain meja dan kerusi.

Bantuan yang diterima katanya dapat membantu beliau menguruskan perniagaannya dalam keadaan mencabar kini.

"Saya tidak mengambil masa lama untuk membuat permohonan bagi mendapatkan geran disediakan kerajaan.

Pemilik Inapan An-Nuris, Kuah, Langkawi, Noor Sholehati Osman, 50, berkata bantuan ibarat 'memberi nyawa' kepada pengusaha penginapan yang bergantung kepada kedatangan pelancong.

"Kami tiada pendapatan, bagaimana mahu membayar cukai pelancongan dan cukai perkhidmatan ke atas penginapan, malah bil elektrik pun tertunggak.

"Alhamdulillah lega kerana menerusi PEMERKASA pengecualian cukai terbabit dilanjutkan sehingga 31 Disember ini," katanya.

Pengusaha inap desa di Taman Nilam di sini, Mazni Sahadan, 58, berkata, bantuan PEMERKASA dihulurkan pada waktu tepat.

"Bantuan tunai secara one-off sebanyak RM600 kepada pengusaha homestay memang amat dinantikan kerana kami hilang sumber pendapatan lebih setahun lalu," katanya.

Berita Harian X