Rabu, 21 April 2021 | 10:06pm
Penguat kuasa Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) mendapati bazar Ramadan Bukit Nyamuk tidak mematuhi SOP. - Foto MDPT
Penguat kuasa Majlis Daerah Padang Terap (MDPT) mendapati bazar Ramadan Bukit Nyamuk tidak mematuhi SOP. - Foto MDPT

Bazar Ramadan Bukit Nyamuk diarah tutup

ALOR SETAR: Bazar Ramadan Bukit Nyamuk, Kuala Nerang, menjadi bazar pertama di negeri ini diarah tutup berkuat kuasa esok.

Yang Dipertua Majlis Daerah Padang Terap (MDPT), Datuk Md Shuhaime Abd Rahman, berkata bazar itu gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mengekang penularan COVID-19 dalam masyarakat.

Katanya, arahan penutupan bazar itu dibuat selepas pihaknya mengesan ketidakpatuhan arahan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Antara SOP MKN yang tidak dipatuhi penganjur, peniaga dan pengunjung di bazar berkenaan ialah tiada kaunter saringan atau pemeriksaan suhu peniaga dan pengunjung bazar.

"Tiada kawalan keluar masuk pelanggan ke tapak bazar, selain tiada rekod pendaftaran masuk secara manual mahupun melalui aplikasi MySejahtera," katanya dalam kenyataan hari ini.

Md Shuhaime berkata, pemeriksaan juga mendapati terdapat peniaga dan pengunjung tidak memakai pelitup muka.

Katanya, penganjur juga gagal menyediakan cecair pembasmi kuman kepada pengunjung bazar Ramadan, manakala pengunjung tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

"Satu mukim di daerah ini menjadi zon kuning apabila terdapat satu kes aktif. Kita bimbang wabak ini menular dalam kelompok komuniti.

"Sekiranya arahan penutupan gagal dipatuhi, tindakan penguatkuasaan dan undang-undang akan diambil selaras dengan peruntukan kuasa kepada MDPT mengikut Seksyen 72(1)(f) Akta Kerajaan Tempatan 1976," katanya.

Berita Harian X