Rabu, 21 April 2021 | 8:24pm
Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Datuk Abd Aziz Abu Bakar
Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Datuk Abd Aziz Abu Bakar

Tidak akan ada lambakan graduan perakaunan

mahani@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Lepasan pengajian perakaunan atau generasi akan datang tidak perlu bimbang bidang yang dipelajari itu akan pupus atau diambil alih automasi kerana elemen digital dan manusia perlu seiring.

Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (MATA), Datuk Abd Aziz Abu Bakar, berkata isu pengangguran dan lambakan graduan juga tidak berlaku kerana fungsi manusia tidak boleh diambil sepenuhnya sistem perisian atau komputer.

"Memang teknologi pada masa ini yang mana kebanyakan kerja perakaunan ini seperti penyimpanan rekod menggunakan perisian perakaunan, kecuali apabila beralih kepada teknologi yang lebih mendalam, macam kecerdasan buatan (AI).

"Dari segi kerja perkeranian, itu memang akan diambil alih dengan automasi tetapi walaupun menggunakan perisian, ia tetap perlu sokongan manusia.

"Misalnya penilaian (judgement), komputer tidak boleh lakukan. Ini bermakna proses pengiraan dan maklumat teknikal memang boleh, tetapi pengadilan perlu ada otak manusia kerana teknologi AI sangat saintifik," katanya ketika dihubungi BH.

Menurut Bank Dunia, separuh daripada pekerjaan di Malaysia bakal digantikan dengan automasi dalam jangka panjang.

Ahli Ekonomi Kanan Bank Dunia, Achim Schmillen dilaporkan berkata, perubahan itu tidak dapat dielakkan dan tinjauan oleh Bank Dunia memberikan gambaran pekerja kini berisiko tinggi untuk digantikan dengan automasi dalam beberapa tahun akan datang.

Abd Aziz berkata, manusia tetap perlu membuat keputusan, kalau tidak ia akan menjadi seperti robot, negatif atau positif sahaja, tiada di antaranya seperti penilaian manusia.

"Perkara sama juga berlaku pada bidang kepakaran lain, tidak hanya pada perakaunan, cuma teknologi AI, Revolusi Industri (IR 4.0) membantu kita (profesion) pada masa hadapan.

"Apa yang boleh pihak universiti lakukan, mereka perlu mengadaptasi peralihan dan pada masa sama mengambil langkah memperkenalkan perkara yang berkaitan misalnya perisian semasa yang digunakan, seiring perkembangan teknologi," katanya.

Katanya, corak pembelajaran juga tidak boleh ketinggalan, sekali gus perlu mempunyai elemen teknologi maklumat.

Berita Harian X