Rabu, 21 April 2021 | 7:18pm

37 pelajar KV Datuk Seri Mohd Zain positif

MELAKA: Seramai 37 pelajar Kolej Vokasional Datuk Seri Mohd Zain (KVDSMZ) disahkan positif COVID-19 dan sudah diasingkan dan dirujuk untuk rawatan lanjut.

EXCO Kesihatan dan Antidadah Negeri, Datuk Rahmad Mariman, berkata pada 16 April lalu, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka menerima notifikasi kes positif seorang pelajar kolej terbabit hasil dari saringan bergejala dan pulang dari Zon Merah.

Katanya, berikutan itu, saringan segera ke atas 196 kontak rapat kepada kes positif berkenaan yang membabitkan rakan kolej dan guru turut dilaksanakan.

Menurutnya, sehingga hari ini, hasil saringan mengesahkan terdapat 37 pelajar kolej positif COVID-19 dengan semua kontak rapat yang disaring diberikan arahan kuarantin dan dipakaikan gelang kuarantin.

"Susulan terdapat pertambahan kes hari ini, penilaian seterusnya mengenal pasti seramai 430 kontak rapat kepada kes-kes positif yang lain dan saringan calitan COVID- 19 akan dijalankan dalam masa terdekat oleh pihak kesihatan.

"Penutupan sementara KVDSMZ bermula 21 April sehingga 4 Mei 2021. Pemantauan berterusan bagi kontak rapat kes positif di blok terbabit akan diteruskan," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, nyahcemar premis dilaksanakan dengan kerjasama pihak Bomba dalam masa sama pihak jabatan, kolej dan semua agensi terbabit sedang mengambil langkah sewajarnya bagi mengekang penularan jangkitan ini.

Sehubungan itu, dia memohon orang ramai agar merujuk kepada kenyataan rasmi oleh Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kesihatan Melaka.

Rahmad berkata, untuk mendapatkan maklumat sahih dan sebarang pertanyaan mengenai perkara terbabit orang ramai boleh menghubungi Crisis Preparedness and Response Center (CPRC) Melaka di talian 06-2356999/6851 atau melalui e-mel cprcmelaka@moh.gov.my

Berita Harian X