Rabu, 21 April 2021 | 6:25pm
Petugas kesihatan memberi penerangan kepada seorang warga emas ketika Fasa Kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Pusat Vaksinasi COVID-19 Daerah Kota Kinabalu. - Foto NSTP/MOHD ADAM ARININ
Petugas kesihatan memberi penerangan kepada seorang warga emas ketika Fasa Kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di Pusat Vaksinasi COVID-19 Daerah Kota Kinabalu. - Foto NSTP/MOHD ADAM ARININ

Tiga lokaliti di Lahad Datu kena PKPD

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dikenakan di Taman Aman 3, Taman Aman Jaya dan Taman Palm Height, Lahad Datu, Sabah, bermula esok.

Pelaksanaan PKPD di tiga taman berkenaan selepas Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan masih berlaku penularan COVID-19 dalam kalangan penghuni taman berkenaan dan kebanyakan kes dikesan membabitkan jangkitan serumah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sehingga kini secara keseluruhan sebanyak 45 kes positif COVID-19 direkodkan di ketiga-tiga lokaliti berkenaan, iaitu 24 kes di Taman Aman 3, Taman Aman Jaya (10) dan Taman Palm Height (11).

"Setelah membuat penilaian risiko bersama Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di tiga lokaliti ini berkuat kuasa 22 April hingga 5 Mei 2021.

"Pelaksanaan PKPD memudahkan tindakan kawalan COVID-19 dengan lebih pantas dan berkesan seterusnya menghalang penularan kes dalam kalangan komuniti," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Ismail Sabri berkata, kerajaan melanjutkan PKPD di Perumahan Komuniti Bersepadu, Pulau Serai, Pekan, Pahang, yang dijadualkan tamat esok.

"KKM melaporkan masih berlaku penularan berterusan dalam kalangan penduduk di kawasan PKPD dan terdapat sebanyak 47 sampel saringan yang sedang menunggu keputusan.

"Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, PKPD di lokaliti ini dilanjutkan sehingga 29 April," katanya.

Berita Harian X