Rabu, 21 April 2021 | 5:24pm

Ada 2,340 pesakit COVID-19 baharu

PUTRAJAYA: Sebanyak 2,340 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes jangkitan wabak itu, sejak Januari tahun lalu 381,813 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata 2,328 daripada kes dilaporkan hari ini membabitkan penularan tempatan, iaitu 2,136 warganegara dan 192 bukan warganegara.

Beliau berkata, 11 daripada 12 kes import warga asing dan seorang rakyat tempatan.

Ketika ini, katanya, jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan sebanyak 21,687 manakala sebanyak 1,910 kes sudah pulih menjadikan sejumlah 358,726 kes atau 93.95 peratus pesakit sembuh sepenuhnya dan dibenarkan pulang.

Beliau berkata, Selangor mencatatkan kes harian tertinggi iaitu 526 kes hari ini, diikuti Sarawak (429) dan Kuala Lumpur (291), manakala Terengganu dan Perlis mencatatkan kes terendah, masing-masing satu kes.

Pasar Malam N6 Belia Metrocity di Kuching diarah tutup kerana berada dalam zon merah. - Foto NSTP/NADIM BOKHARI
Pasar Malam N6 Belia Metrocity di Kuching diarah tutup kerana berada dalam zon merah. - Foto NSTP/NADIM BOKHARI

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 248 kes dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 101 memerlukan alat bantuan pernafasan.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan turut merekodkan 11 kes kematian hari ini, sembilan daripadanya rakyat tempatan dan dua warga asing.

Katanya, ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian sejak tahun lalu sebanyak 1,400 atau 0.37 peratus.

Berita Harian X